Advertise here

Tuesday, May 29, 2018

KWSP suri rumah tidak babitkan caruman tambahan - TPM

Johari Seman     1:54:00 PM    
HULU SELANGOR 29 Mei - Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah melibatkan dua peratus daripada gaji suami tidak akan membabitkan caruman tambahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebaliknya caruman yang dicadangkan sebelum ini iaitu dua peratus yang akan dipotong daripada 11 peratus caruman KWSP suami.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengesahkan akan mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan KWSP pada pukul 3 petang, Khamis ini.

“Kita tak ambil tambahan, kita hanya ambil daripada 11 peratus itu sahaja. Pemotongan itu sebagai penghargaan kepada isteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Lawatan Turun Padang ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.

Sunday, May 27, 2018

Saya rindu ibu di Palestin

Johari Seman     10:05:00 PM    
KOTA BHARU: Tahun ini sudah tujuh kali Ramadan seorang warga Palestin tidak dapat pulang ke negara asalnya dan bertemu ibu serta keluarga tersayang.

Abdallah Ismail Haniya, 33, mengakui sangat rindukan wanita itu dan Ramadan lebih membuatkan kerinduannya berganda kerana ingin bersama mereka menjalani ibadat dan menyambut Aidilfitri.

Rindunya juga terhadap negara itu dan semua yang berkaitan, walaupun Palestin masih bergolak dan keadaan lebih serius selepas pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis, baru-baru ini.

Abdallah yang menetap di Kelantan dan berkahwin dengan wanita tempatan berkata, sejak ke Malaysia pada 2012, dia tidak lagi pulang ke negaranya kerana kos yang tinggi selain masalah birokrasi.

"Saya memang sangat rindukan ibu (Eitidal Subhi Haniya, 64) dan adik beradik terutama pada Ramadan ini. Mereka masih menetap di Gaza tetapi hidup susah.

"Ketika ayah (Ismail Haniya) meninggal dunia pada 2015 akibat sakit tua, saya juga tidak dapat menziarahinya dan hanya doa yang dititipkan dari sini.

"Nak pulang ke sana sangat sukar kerana perlu berdepan kerenah birokrasi selain kos yang tinggi. Jika berjaya pulang, kemungkinan besar saya tidak dapat kembali ke Malaysia dalam tempoh setahun kerana polisi ditetapkan di sana," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, hatinya lebih pilu apabila sukar mengirimkan wang kepada keluarga di Palestin disebabkan tiada perkhidmatan perbankan yang sempurna, selain bermasalah untuk menghubungi mereka.

"Dulu saya boleh berhubung menerusi Skype dengan mereka pada bila-bila masa, tetapi sekarang lebih sulit kerana mereka di sana perlu menjimatkan bekalan elektrik.

"Sekarang, seminggu hanya empat jam sahaja saya berbual dengan keluarga. Bagi kiriman wang pula, saya sampaikan melalui kenalan atau individu yang ke Palestin," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Abdallah berkata, dia ke Malaysia dengan niat mencari rezeki demi membantu keluarganya di Palestin sebelum, hijrahnya membawa kepada pertemuan cinta dengan isteri, Noor Syazwani Nordin, 32.

Menurutnya, perkahwinan mereka dikurniakan dua anak dan dia mula menjalankan perniagaan makanan Palestin di bandar ini sejak 2014.

"Hasil jualan makanan inilah saya beri kepada keluarga di Palestin untuk meringankan beban mereka," katanya.-Berita Harian

Real kekal gelaran Liga Juara-Juara

Johari Seman     9:58:00 PM    
KIEV: Real Madrid mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Liverpool 3-1 pada aksi final di Stadium NSC Olimpiyskiy sebentar tadi.

Babak pertama permainan berkesudahan 0-0 dengan Liverpool kehilangan peledak utamanya Mohamed Salah yang cedera di bahu. Dia terpaksa digantikan dengan Adam Lallana pada minit ke-30.

Real turut kehilangan pemain, Dani Carvajal yang dipercayai cedera buku lali dan tempatnya diisi Nacho.

Bersambung babak kedua, Real mendahului permainan pada minit ke-51 hasil kesilapan penjaga gol Liverpool Loris Karius yang membaling bola ketika Karim Benzema berada berhampirannya dan mudah menampan bola ke dalam gawang.

Liverpool bagaimanapun tidak menunggu lama dan kembali menyamakan kedudukan menerusi Sadio Mane tiga minit kemudian.

Kemasukan Gareth Bale ternyata membawa tuah buat Real apabila pemain Wales itu menjaringkan gol kedua juara bertahan itu pada minit ke-63 dan sekali lagi pada minit ke-83.

Tiga beranak aktif mencuri ditangkap

Johari Seman     9:52:00 PM    
PIHAK polis berjaya merampas semula barang yang dicuri daripada pasangan suami isteri serta anak lelaki berusia tujuh tahun
KOTA KINABALU: Pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka berusia tujuh tahun yang giat melakukan jenayah curi di pasar raya sekitar daerah ini sejak Mei tahun lalu berakhir apabila mereka diberkas polis, petang semalam.

Tiga beranak itu diberkas di bangunan Centre Point di sini oleh pasukan Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, jam 3.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, tangkapan tiga beranak ini susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki selepas jam tangan jualan di premisnya hilang dipercayai dicuri, 9 April lalu.

"Hasil penelitian rakaman CCTV di premis itu, kelihatan pasangan suami isteri bersama kanak-kanak lelaki mencuri jam tangan di premis berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, anggota polis menahan pasangan itu dan anak lelaki mereka di bangunan Centre Point berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, sepasukan polis menjalankan serbuan di sebuah bilik sewa di Taman Rindu, Luyang, di sini, dan menemui pelbagai barangan antaranya baju, beg tangan wanita, dompet, stokin, lapan jam tangan, tiga botol minyak wangi dan selipar yang dipercayai dicuri oleh suspek terbabit.

"Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, pasangan suami isteri itu mendedahkan bahawa mereka bergiat dalam kegiatan jenayah curi bangunan di sekitar bandar raya ini terutama di kawasan Imago, Suria Sabah, KK Plaza dan Centre Point sejak Mei 2017.

"Suspek turut mengaku hampir semua barangan yang dirampas adalah barang curi dan masih mempunyai tanda harga," katanya.

Menurut Chandra, modus operandi pasangan suami isteri itu ialah mengunjungi pasar raya dengan membawa anak lelaki mereka serta beg tangan jenis sarung untuk menyorokkan barang curi.

"Soal siasat lanjut masih diteruskan dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Pasangan suami isteri berusia 41 dan 33 tahun direman mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

BN Sarawak patut keluar dari BN Pusat, kata penganalisis

Johari Seman     9:30:00 PM    
KUCHING, 27 Mei — Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini disarankan keluar dari BN pusat dan membentuk gabungan mereka sendiri agar tidak disinonimkan dengan BN yang popularitinya semakin merosot.

“Keluar dari BN dan membentuk perikatan mereka adalah perlu agar tidak disinonimkan dengan BN yang dianggap jenama yang sudah merosot popularitinya dan semakin ditolak rakyat,” kata Prof. Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

BN Sarawak merupakan parti pembangkang kedua terbesar di Malaysia dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dalam temu bual dengan Bernama, Awang Azman berkata kebimbangan ini (kemerosotan populariti) akan menular ke Sarawak jika langkah tersebut tidak diambil segera oleh BN Sarawak, hingga boleh menyebabkan tidak kurang 30 peratus daripada kerusi dimenanginya pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 2016, akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, perlu diperhatikan bahawa kejayaan BN Sarawak pada PRN 2016 banyak bergantung pada faktor populariti ketua menteri ketika itu Tan Sri Adenan Satem, dan ketiadaan Allahyarham kini pasti menjejas populariti parti-parti komponen BN Sarawak.

Naib presiden PBB Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah berkata ada kemungkinan besar kerajaan campuran negeri Sarawak akan keluar dari BN untuk menubuhkan parti perikatan yang baharu.

Menurut Karim, BN adalah satu jenama yang sudah pudar dan tidak lagi diterima oleh rakyat.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata menubuhkkan perikatan baharu adalah jalan terbaik untuk BN Sarawak.

Katanya, mahu tidak mahu BN Sarawak terpaksa ambil tindakan drastik dengan keluar daripada BN pusat dan tubuhkan satu entiti politik yang baharu.

Mesyuarat PBB pada minggu lalu ada membincangkan perkara mengkaji semula kedudukannya di dalam BN.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan Sarawak membantah sebarang percubaan untuk menerima kemasukan mana-mana parti komponen BN Sarawak terutama PBB.

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata menerima PBB ke dalam PH samalah seperti menerima Umno menyertai PH. — Bernama

KAFA dedah usaha jatuhkan Kelantan

Johari Seman     4:40:00 PM    
KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendedahkan wujud usaha dilakukan pihak tertentu yang mahu melihat Kelantan berada dalam keadaan tidak menentu musim ini.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan ketika mendedahkan perkara itu berkata, usaha menjatuhkan skuad Kelantan sedang berlaku dan beliau dimaklumkan oleh beberapa individu yang sedia menunjukkan bukti.

Malah katanya, masalah sama pernah melanda beberapa pemain yang menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menyingkirkan mereka daripada pasukan.

"Sebenarnya bola sepak Kelantan dijatuhkan oleh orang-orang yang tidak mahu melihat KAFA dipulihkan, banyak pemain disingkirkan disebabkan oleh campur tangan pihak luar yang hanya mahu lihat kami hancur.

"(Orang) itu bukan orang lain, saya tidak mahu menuduh tetapi saya banyak menerima kiriman WhatsApp dari beberapa individu yang rela datang jumpa dan tunjukkan kepada saya apa yang sedang berlaku di sebalik semua ini," katanya dalam kenyataan balas di akaun Facebook peribadinya, hari ini.

Kelantan yang tidak sunyi dengan pelbagai isu musim lalu terus dilanda nasib sama musim ini apabila isu membabitkan kewangan dan pemain terus berlaku dalam kem The Red Warriors (TRW).

Dalam kenyataan sama, Bibi Ramjani yang kini sedang mengerjakan umrah di Makkah, dilihat kecewa dengan sikap penyokong yang mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap pengurusan badan induk itu sedangkan pihaknya sudah berusaha demi melihat Kelantan terus bersaing musim ini.

Katanya, beliau sendiri sudah mengeluarkan sejumlah wang yang besar bagi menstabilkan kantung bola sepak negeri itu bagi memastikan tiada sebarang isu hutang berlaku selepas ini.

"Sebenarnya siapa presiden yang semua (penyokong) mahukan? Setakat ini ramai yang sudah jadi histeria dengan pelbagai kata-kata hina.

"Presiden mana yang sanggup keluarkan tidak kurang RM5 juta selama lapan bulan demi pasukan bola sepak? Saya juga membayar hutang dengan menyelesaikan baki kontrak pemain dengan harapan tiada isu berbangkit.

"(Namun) siapa yang menyokong saya dari segi kewangan (itu)? Bagi tajaan yang ada, ia dibayar melalui ejen yang tidak sampai ke KAFA sepenuhnya.

"(Penjelasan) ini adalah untuk siapa yang minta saya letak jawatan itu (atau) ada calon yang sesuai yang mana hutang pun kini sudah berkurangan," katanya.

KWSP: Jangan abaikan suri rumah lelaki

Johari Seman     4:34:00 PM    
KUALA LUMPUR 26 Mei – Kerajaan perlu prihatin terhadap nasib lelaki yang tidak bekerjaya dan menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah dengan memberi sumbangan RM50 untuk dicarumkan dalam kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti mana yang diperoleh suri rumah wanita.

Selain itu, langkah penolakan dua peratus daripada gaji isteri untuk dicarumkan dalam KWSP atas nama suami juga perlu dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan nasib kaum lelaki yang menjadi suri rumah dibela.


Mengulas lanjut, pakar percukaian Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, inisiatif itu perlu diambil bagi memastikan golongan lelaki yang menjadi suri rumah mempunyai simpanan untuk digunakan sekiranya telah mencapai usia 60 tahun nanti.

“Kita perlu tahu suri rumah ini bukan sahaja terhad kepada wanita namun ada lelaki yang terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut atas alasan tersendiri dan golongan ini tidak boleh diabaikan oleh kerajaan.

“Sudah tentu penolakan gaji isteri yang ingin dilakukan ini perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu. Kerajaan juga perlu melihat kepada pendapatan isi rumah keluarga berkenaan bagi memastikan niat baik untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan de­ngan telus dan menyeluruh,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Barjoyai, kerajaan perlu memfokuskan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) untuk melaksanakan skim KWSP tersebut kerana faktor purata simpanan mereka yang rendah setiap tahun.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari ­Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemberian sumbangan RM50 untuk dicarumkan dalam KWSP kaum lelaki yang menjadi suri rumah dapat membantu golongan tersebut untuk merancang simpanan mereka dengan lebih terurus.

Katanya, selain daripada simpanan jangka masa panjang, sumbangan tersebut secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada kaum lelaki yang menjadi suri rumah untuk mencari kerja yang lebih baik dengan gaji yang lebih besar.

“Inisiatif kerajaan ini ibarat ‘serampang dua mata’. Selain membantu golongan suri rumah dari segi simpanan jangka masa panjang, secara tidak langsung pencarum akan menjadi lebih bersemangat untuk mencari peluang pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi bagi memastikan simpanan KWSP mereka menjadi lebih banyak nanti,” katanya.


© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .