Saturday, November 28, 2015

Kepiluan Keluarga Mangsa Terbakar Terubat

Johari Seman     11:28:00 AM    

SEBERANG TAKIR - Kesedihan yang dialami Mohamad Chik, 51, sekeluarga setelah kediaman mereka musnah dalam kebakaran Ahad lalu sedikit terubat dengan sumbangan yang diberikan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Negeri Terengganu.

Bantuan berupa barangan keperluan seperti selimut, dapur, makanan dan sebagainya itu disampaikan sendiri Pengarah PBSMM Negeri Terengganu, Mohd Zulkafli Jusoh di kediaman keluarga berkenaan di Kampung Paya, Bukit Tok Beng, di sini.

Menurut Zulkafli, meskipun bantuan yang diberikan itu belum mampu mengembalikan sepenuhnya kegembiraan bagi keluarga malang itu, namun setidaknya ia berupaya memulihkan semangat mereka.
“Kita harap dengan bantuan yang diberikan ini dapat memulihkan sedikit semangat keluarga ini dan dalam masa yang sama diharap menggalakkan lebih ramai yang menyumbangkan bantuan.
“Kami juga minta keluarga Mohamad tabah menerima dugaan ini dan berharap agar bantuan perumahan dapat diperoleh segera,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad juga mengakui terharu dan gembira dengan bantuan yang diterima itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu mereka sekeluarga ketika berdepan saat sukar ketika ini.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 10.15 malam Ahad lalu, rumah didiami Mohamad bersama isteri, Kamariah Mamat, 51, dan empat anak musnah sama sekali dijilat api dipercayai akibat litar pintas.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .