Wednesday, November 25, 2015

Kerajaan Selangor Digesa Pulih Sistem Peparitan

Johari Seman     9:38:00 PM    


KUALA SELANGOR - Kerajaan negeri Selangor digesa bertindak segera membaik pulih sistem perparitan dan saliran di kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini.


Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, ia perlu dilakukan supaya apabila tiba musim tengkujuh masalah banjir tidak akan menghantui rakyat seperti yang berlaku di kawasannya ketika ini.
"Kita harap kerajaan negeri akan segera mendalamkan semua parit, baiki benteng yang pecah dan baik pulih kunci air yang rosak.

"Daripada kerajaan negeri keluarkan peruntukan yang besar untuk membaik pulih pintu gerbang Darul Ehsan, lebih baik mereka tumpukan kepada menaik taraf sistem perparitan dan saliran sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menyertai misi bantuan banjir dan gotong-royong oleh kira-kira 30 sukarelawan dari Majlis Belia Daerah Kuala Selangor di Kampung Parit Mahang, di sini hari ini.

Sehingga pukul 10 pagi tadi, sebanyak 587 mangsa banjir masih ditempatkan di tujuh pusat penempatan di daerah Kuala Selangor dan daripada jumlah itu sebanyak 388 orang daripada 72 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang.

Irmohizam yang juga Presiden Majlis Belia Selangor turut menyeru lebih ramai sukarelawan daripada sektor awam dan swasta tampil menghulurkan bantuan dan sokongan moral kepada mangsa banjir di daerah ini.

"Kita berharap lebih ramai lagi sukarelawan seperti sukarelawan dari Majlis Belia Daerah Kuala Selangor ini yang menunjukkan keprihatinan dengan membantu penduduk membersihkan rumah mereka yang dinaiki air. Sebelum ini komuniti sukarelawan belia Malaysia, 1M4U memberi kit pembersihan serta khemah untuk keselesaan mangsa banjir di pusat penempatan.

"Penyertaan sukarelawan dari NGO (badan bukan kerajaan) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga digalakkan," katanya.

Ahli Parlimen itu turut menasihati penduduk di daerah berkenaan supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing ketika menghadapi kejadian air pasang besar di perairan Kuala Selangor yang dijangka berlaku hari ini sehingga Ahad ini.

"Kita minta penduduk supaya bersabar menghadapi musibah ini. Kerajaan Persekutuan sentiasa mengutamakan kebajikan penduduk yang terjejas akibat banjir dan pihak JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) akan menghantar dua buah bot ringan untuk digunakan jika berlaku banjir lebih buruk di daerah ini," katanya. - Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .