Saturday, November 28, 2015

Lima Jam Terputus Hubungan

Johari Seman     10:51:00 AM    


TUMPAT - Hujan lebat sejak semalam mengakibatkan seramai 700 penduduk di Pasir Pekan Tengah, di sini, terputus hubungan selama lima jam apabila terowong menghubungkan kampung berkenaan ke jalan utama, digenangi air sedalam 0.5 meter.

Sehubungan itu, penduduk kampung berkenaan yang mahu keluar ke bandar, terpaksa menggunakan jalan kampung yang agak sempit dan jauh sebagai laluan alternatif.

Penduduk, Wan Mohd Yusof Wan Taib, 60, berkata, terowong berhampiran jambatan Sultan Yahya sering digenangi air, namun bukan disebabkan limpahan air sungai Kelantan, sebaliknya berpunca daripada masalah sistem perparitan.

“Masalah ini kerap berlaku.. asalkan hujan lebat, beginilah jadinya. Kenderaan penduduk tak dapat nak keluar.. nak masuk ke Kampung Pasir Pekan Hilir kena ikut jalan jauh,” katanya.

Menurut Wan Mohd Yusof, walaupun ada jalan susur keluar bersebelahan terowong itu, tetapi pengguna perlu membuat pusingan U di lampu isyarat di simpang masuk pasar raya Tesco jika perjalanan menghala ke Wakaf Bharu atau Pasir Mas.

“Kalau terowong ini boleh dilalui, tidaklah perlu menyeberangi jambatan dan kemudian membuat pusingan U,” katanya.

Justeru, Wan Mohd Yusof berkata, penduduk merayu agar pihak berkaitan menyelesaikan masalah tersebut segera kerana ia menyukarkan mereka apabila perlu melencong jalan jauh dan berdepan kesesakan.
Menurutnya, jika musim banjir pula, terowong itu akan ditenggelami air (hampir dua meter) akibat limpahan sungai Kelantan menyebabkan penduduk terputus hubungan kerana jalan alternatif turut tenggelam.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .