Saturday, November 28, 2015

Najib Jangan Bakar Negara Kerana Rakyat Lebih Berharga

Johari Seman     10:42:00 AM    


Pemimpin Umno Perak yang dipecat, Datuk Hamidah Osman hari ini memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya tidak "membakar negara" dalam mesej khas ditujukan secara peribadi kepada presiden parti.

"Tuan, jangan bakar negara ini, kalau kami terbakar, dia (Najib) juga akan ikut terbakar," katanya dalam ucapan pertama kepada media di Ipoh selepas dipecat daripada Umno.

Keputusan Umno untuk memecat Hamidah diumumkan Najib pada Selasa lepas selepas mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan di perkarangan Parlimen.

Hamidah berkata, walaupun masih belum menerima sebarang notis rasmi mengenai pemecatannya, namun beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak akan membuat sebarang rayuan.

"Bagaimanapun, saya ingin tahu sebab pemecatan saya dan saya akan menulis surat untuk mendapatkan penjelasan itu," katanya.

Hamidah mempersoalkan adakah kerana menegur Najib beliau dipecat daripada Umno.

"Saya jelas, saya tegur Najib berdasarkan konteks individu. Saya tegur presiden Umno dan bukannya parti.

"Bila tegur cakap nak runtuhkan parti. Kita tegur sebab apa yang dilakukan presiden itu buat parti runtuh.

"Saya cakap terus terang, saya suarakan presiden untuk undur. Bukan serang parti dan kenapa hukum saya?" soalnya.

Bekas ketua Wanita Umno Gopeng itu berkata, sejak mengetahui pemecatannya menerusi laporan media, beliau menerima banyak panggilan dan mesej daripada rakan dan ahli parti yang menyatakan perasaan terkejut mereka.

"Ramai melahirkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti.

"Ia tidak sepatutnya berlaku, terutamanya apabila terdapat cubaan menutup mulut perwakilan perhimpunan agung tahunan parti itu," katanya merujuk perancangan awal Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya persidangan 5 hari itu pada bulan depan diadakan secara tertutup, tanpa liputan media seperti biasa.

Langkah luar biasa ini kemudiannya ditarik balik susulan maklum balas daripada wakil negeri yang mahu liputan langsung persidangan itu.

Tengku Adnan sebelum ini dilaporkan berkata perintah sekatan itu adalah kerana portal berita dalam talian suka "memutarbelitkan berita".

Hamidah berkata, perhimpunan Umno itu merupakan satu platform kepada ahli menyuarakan pandangan, mendengar amanat daripada pemimpin parti dan menyuarakan kebimbangan mereka.

"Ini adalah tradisi parti... Malah ini yang dipertaruhkan," katanya.

Katanya, walaupun mendapat sokongan padu penyokongnya, namun beliau tidak mempunyai rancangan menubuhkan parti sendiri atau menyertai parti pembangkang.

"Jika saya ingin mengejar kedudukan, saya tidak akan berbuat seperti ini sekarang, saya boleh kekal.

"Saya akan terus berjuang untuk rakyat dan negara ini, mungkin melalui platform yang berbeza iaitu bukan politik.

" Saya berharap ahli Umno akan terus berjuang untuk parti," katanya.

Hamidah juga menafikan beliau dipengaruhi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau kedua-dua mereka saling berhubungan sejak beliau dipecat.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .