SERDANG – Kerja-kerja perobohan struktur haram membabitkan 145 rumah di Serdang Jaya petang, kelmarin dilaksanakan Pejabat Tanah Daerah Petaling, bukannya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya hanya membantu dari segi penyediaan jentera dan mesin.

Beliau berkata, tindakan perobohan dijalankan untuk memberi laluan kerja-kerja pembinaan kolam tadahan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah talian rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Notis dikeluarkan kepada pemilik yang terbabit sebelum ini, ada sebahagian daripadanya sudah merobohkan sendiri struktur yang dibina atas tanah kerajaan itu.

“Tindakan diambil pejabat tanah, kita hanya bantu dari segi kakitangan dan sebagainya tapi orang nampak seolah-olah MPSJ yang robohkan struktur haram itu,” katanya.

Beliau menambah tindakan diambil bawah Seksyen 45 Kanun Tanah Negara kerana menceroboh tanah kerajaan.