Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, projek perumahan mampu milik di bawah PR1MA di Alam Damai, Cheras yang berjumlah 2,000 unit telah menerima permohonan lebih lima kali ganda.

Selain itu, beliau memberitahu, permohonan bagi 543 unit rumah mampu milik yang dibina PR1MA di Jalan Jubilee, Bukit Bintang mencatatkan jumlah lebih 25 kali ganda.

“Alhamdulillah, kita dapat melihat bagaimana rumah-rumah yang dibina ini mendapat sambutan yang luar biasa,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Rumah PR1MA 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Projek PR1MA di Alam Damai menerima sebanyak 10,418 permohonan, manakala projek di Jalan Jubilee mencatatkan 14,960 permohonan.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan surat tawaran rumah PR1MA di Kuala Ketil, Kedah dan Alam Damai kepada 10 penerima serta mencabut undi untuk projek perumahan PR1MA Jalan Jubilee.

Najib turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Pusat Anak Permata Negara (Permata) dan PR1MA berhubung penubuhan Pusat Jagaan Kanak-kanak Permata PR1MA serta Permata Perkasa @ Pusat Komuniti Remaja.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, usaha menjayakan hasrat kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam masa lima tahun memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri, syarikat milik kerajaan (GLC), sektor swasta dan individu.

Perdana Menteri turut memuji dasar kerajaan negeri Sarawak yang membantu mengurangkan kos pembinaan rumah PR1MA di negeri itu serta inisiatif kerajaan negeri Melaka, Kedah dan Negeri Sembilan yang menyediakan pusat sehenti bagi projek PR1MA.

“Begitu juga dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah bekerjasama dengan PR1MA untuk membangunkan sebidang tanah seluas 3.2 hektar di Kajang di mana 1,200 unit kediaman akan dijual kepada kakitangan TNB dan masyarakat setempat,” jelasnya.

Beliau menambah, setakat 30 September lalu, pelaksanaan projek perumahan mampu milik PR1MA berjaya mencapai tahap 16 peratus.

Najib juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan perumahan mampu milik walaupun negara sedang berdepan situasi ekonomi global yang tidak menentu tahun ini.

“Semuanya memberi kesan kepada ekonomi kita namun kita bersyukur kerana projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat masih mampu dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya.

Menurut beliau, projek PR1MA bukan sahaja menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat malah memberi peluang kepada rakyat menjana kekayaan dengan aset yang dimiliki.

“Kalau aset itu dalam bentuk rumah dan nilai pasarannya lebih tinggi daripada apa yang kita beli, maka kita boleh mendapatkan keuntungan yang lebih besar,” katanya.