Thursday, December 31, 2015

Benarkah 100 Wanita Dirogol Setiap Hari Di Malaysia?

Musang Maya (Nur Shila)     2:26:00 PM    



30 DISEMBER — Pada bulan November yang lalu, media melaporkan kes seorang lelaki berumur 35 tahun merogol adik ipar perempuan yang berumur 11 tahun dan memaksa isterinya yang berumur 14 tahun untuk merakamkan peristiwa tersebut. Lelaki itu kemudian cuba untuk menjual video rakaman tersebut.
Pada Isnin lepas, 28 Disember 2015, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng telah membongkarkan satu lagi jenayah rogol melibatkan guru tuisyen yang merogol pelajarnya sejak pelajar tersebut berumur 14 tahun.
Statistik menunjukkan bahawa setiap 15 minit di Malaysia, seorang wanita menjadi mangsa rogol, setiap hari, 100 orang wanita dirogol dan separuh daripada mangsa tersebut ialah anak gadis di bawah umur 16 tahun!
Dalam kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bimbang tentang Islamic State (IS) dan terrorisme, jelas bagi wanita di Malaysia, bahaya yang lebih besar dan lebih dekat adalah menjadi mangsa jenayah seksual.
Sudah sembilan tahun, mana Rang Undang-Undang Pendaftaran Penjenayah Seksual?
Sudah banyak kali saya bangkitkan di dalam Parlimen menggesa kerajaan melaksanakan Akta Pendaftaran Penjenayah Seksual. Kali terakhir ialah pada 30 November 2015 semasa perbahasan saya di Parlimen tentang Bajet 2016. Mekanisme perundangan ini termasuk sistem saringan dan seliaan ke atas pekerja yang berurusan secara langsung dalam keadaan berisiko dengan golongan yang berisiko seperti kanak-kanak.
Cadangan untuk Akta ini bukan perkara baru. Ia pertama kalinya dicadang pada 2007 oleh PDRM selepas peristiwa malang adik Nurin Jazlin Jazimin yang mayatnya dijumpai dalam sebuah bag selepas dirogol dan dibunuh. Cadangan ini telah disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. 
Pada 2010, Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat dan PDRM telah merangka mekanisme untuk Akta tersebut termasuk kaedah-kaedah pemantauan.
Pada 2011, dilaporkan bahawa kementerian yang sama telah mengadakan perjumpaan kedua dengan PDRM, selepas setahun, untuk mengemaskini dan membuat perincian Akta tersebut.
Daripada 2007 sehingga kini sudah hampir 2016, sudah sembilan tahun, kajian demi kajian, perbincangan demi perbincangan,
mesyuarat demi mesyuarat sudahpun dibuat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pun sudah ditukar lima kali, Ketua Polis Negara sudah tukar tiga orang, namun Rang Undang-Undang Pendaftaran Penjenayah Seksual masih tidak nampak lagi.
Dalam menjawab perbahasan saya di atas, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Azizah Mohd Dun menyatakan bahawa beliau juga telah melawat ke NYPD (Jabatan Polis New York) untuk mengkaji perkara ini.
Namun paling mengecewakan ialah Timbalan Menteri yang sama memaklumkan kepada Parlimen bahawa, "setakat ini, kita [kerajaan] belum lagi ada hasrat untuk mengemukakan [Rang Undang-Undang Pendaftaran Penjenayah Seksual]."
Kerajaan lebih pentingkan undang-undang zalim seperti Akta MKN 2015. Setelah sembilan tahun membuat persiapan dan berkali-kali kita dikejutkan dengan jenayah seksual ke atas wanita, kerajaan nampaknya mengambil sikap tidak peduli atas hal ini. Kerajaan lebih mementingkan undang-undang zalim yang memberi kuasa besar kepada parti pemerintah seperti Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 yang dipecutkan untuk "kelulusan tengah malam" di Parlimen pada sidang 3 Disember yang lalu. Sebelum ini, perundangan tersebut belum pernah lagi dibincangkan.
Saya sekali lagi menggesa agar Perdana Menteri selaku bekas pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar melaksanakan segera Akta Pendaftaran Penjenayah Seksual serta menjalankan pembaharuan terhadap sistem perundangan bagi memastikan jenayah seksual boleh diatasi dengan lebih berkesan. Pemberdayaan wanita tidak membawa apa-apa makna jika wanita hidup dalam ketakutan menjadi mangsa jenayah seksual.
- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/pendapat/article/untuk-wanita-bahaya-jenayah-seksual-lebih-kritikal-berbanding-is-steven-sim#sthash.gMYB4hJO.dpuf

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .