Thursday, December 31, 2015

Cara IS Layan Hamba Seks

Johari Seman     11:33:00 AM    



WASHINGTON, 30 Dis ― Kumpulan pengganas Negara Islam (IS) mengeluarkan garis panduan cara mengadakan hubungan seks dengan hamba wanita, antaranya melarang ia dilakukan sewaktu haid, mengandung atau meliwat mereka.
Garis panduan yang diterbitkan Januari tahun ini mengandungi 15 perkara yang disepakati oleh jawatankuasa penyelidikan dan fatwa IS.
“Fatwa” tersebut dikatakan dikeluarkan selepas ada ahli IS yang musykil akan hukum syarak layanan sesetengah ahli lain terhadap hamba-hamba wanita mereka.
Dokumen berkenaan dilaporkan diperoleh menerusi serbuan yang dijalankan pasukan operasi khas Amerika Syarikat (AS) di Syria pada Mei lalu.
“Fatwa” tersebut kemudiannya telah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris oleh kerajaan AS, dan disiarkan agensi berita Reuters lewat semalam.
Agensi berita itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sendiri kesahihan maklumat tersebut.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi mendakwa IS menculik dan merogol ribuan wanita dan gadis, semuda 12 tahun, yang dijual atau dihadiahkan sebagai hamba seks.
Berikut 15 “fatwa” yang diumumkan oleh para ulama IS, seperti dokumen yang dilampirkan dalam laporan agensi berita tersebut:
1. Dibenarkan seseorang yang menyimpan hamba wanita untuk bersetubuh dengannya selepas wanita itu habis haid dan bersih daripada hadas.
2. Jika wanita itu tidak haid tetapi mengandung, tidak dibenarkan bersetubuh dengannya sehingga wanita itu beranak.
3. Tidak dibenarkan untuk menggugurkan kandungan jika wanita itu hamil.
4. Jika seseorang pemilik hamba wanita membebaskannya, cuma dia boleh bersetubuh dengannya dan tidak boleh membenarkan orang lain bersetubuh dengannya.
5. Jika seseorang memiliki hamba wanita yang mempunyai seorang anak perempuan yang sesuai untuk disetubuhi, lalu dia menyetubuhi anak itu, dia langsung tidak dibenarkan menyetubuhi si ibu. Jika dia telah menyetubuhi si ibu, dia tidak dibenarkan menyetubuhi si anak pula.
6. Seseorang yang memiliki hamba adik-beradik tidak dibenarkan bersetubuh dengan kedua-duanya, dan cuma boleh bersetubuh dengan seorang sahaja. Dia cuma boleh memiliki wanita satu lagi jika membebaskan hamba pertama dengan menjualnya, memberikannya, atau melepaskannya.
7. Jika hamba wanita dimiliki seorang bapa, anak si bapa tidak boleh bersetubuh dengan wanita itu. Begitu juga sebaliknya. Tambahan, seseorang juga tidak boleh bersetubuh dengan hamba wanita yang dimiliki isterinya.
8. Jika seorang bapa pernah bersetubuh dengan hamba wanita dan kemudian memberi atau menjualnya kepada anaknya, si bapa tidak lagi dibenarkan bersetubuh dengan hamba itu.
9. Jika seorang hamba wanita hamil hasil persetubuhan pemiliknya, dia tidak boleh menjualnya dan hamba itu cuma bebas selepas kematiannya.
10. Jika seseorang pemilik membebaskan hamba wanitanya, dia tidak dibenarkan bersetubuh lagi dengannya kerana hamba itu sudah bebas dan bukan lagi miliknya.
11. Jika dua atau lebih individu memiliki seorang hamba wanita, tiada siapa dibenarkan bersetubuh dengannya kerana hamba itu milik bersama.
12. Tidak dibenarkan bersetubuh dengan hamba wanita ketika sedang haid.
13. Tidak dibenarkan melakukan seks anal atau meliwat hamba wanita.
14. Seorang pemilik hamba wanita perlulah menunjukkan rasa belas kasihan, berbuat baik kepadanya, tidak mengaibkannya dan jangan memberi tugasan yang dia tidak boleh lakukan.
15. Seorang pemilik hamba wanita tidak boleh menjualnya kepada individu yang diketahui akan melayannya dengan buruk atau melakukan perkara yang ditegah Allah.
Abdel Fattah Alawari, profesor di Fakulti Teologi, Universiti Al-Azhar berkata IS sengaja menyeleweng tafsiran dalil-dalil agama tentang perhambaan, yang didakwanya bertujuan menghentikan penghambaan dan bukan menggalakkannya.
“Islam mengajar membebaskan hamba, bukan penghambaan. Penghambaan diamalkan sebelum kedatangan Islam.
“Tamadun Yahudi, Kristian, Yunani, Roman dan Parsi semuanya mengamalkan perkara itu dan menjadikan wanita musuh sebagai hamba seks.
“Jadi Islam melihat ini perbuatan yang hina dan berusaha perlahan-lahan untuk menghapuskannya,” katanya seperti dilaporkan agensi berita berkenaan.
Dalam laporan Utusan Malaysia Disember tahun lepas, seorang gadis dari Kelantan bernama Umairah dikatakan menyertai IS semata-mata untuk menjadi hamba seks kepada kumpulan itu.
Dikatakan mempelajari cara melayan lelaki, termasuk melakukan hubungan seks dengan lima lelaki pada satu masa, gadis itu mempercayai bahawa beliau melakukan satu “jihad” dengan tindakannya.
Menurut Kertas Putih di Parlimen tahun lepas, terdapat 39 rakyat Malaysia berada di Syria dalam pelbagai kumpulan militan seperti IS dan Ajnad al-Sham.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .