Monday, February 29, 2016

Pengujung Anggerik Mall Semakin Bertambah

Johari Seman     3:29:00 PM    

Nampaknya pusat perniagaan Melayu Anggerik Mall menjadi tumpuan ramai dari kehari.
SHAH ALAM-Peningkatan jualan usahawan Melayu antara 30 dan 40 peratus di pusat beli belah Anggerik Mall di sini, menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam tempoh dua tahun lepas.
Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor, Rusnah Yusoff berkata kewujudan pusat beli belah seliaan MARA itu, membuktikan usahawan Melayu mampu bersaing dengan perniagaan bangsa lain, dan ia selaras dengan hasrat kerajaan mahu meningkatkan kualiti hidup golongan berkenaan.
Selain pusat beli belah itu, katanya tiga lagi arked MARA di Sabak Bernam, Kajang dan Klang turut menunjukkan perkembangan positif dalam menarik minat lebih ramai peniaga Bumiputera.
Beliau berkata setakat ini, Anggerik Mall yang menawarkan barangan pada harga berpatutan mampu mencatat jumlah pengunjung sehingga 1,000 orang sehari.
“Di Anggerik Mall, kita ada 120 lot kedai yang hampir kesemuanya dipenuhi usahawan Bumiputera yang menjalankan pelbagai perniagaan dan kita amat bangga dengan peningkatan jualan itu.
“Malah, kita juga sentiasa bersedia menjadikan Anggerik Mall sebagai Digital Mall, sebagaimana dicadangkan kerajaan dan ia pasti akan meningkatkan lagi jualan peniaga sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Sambutan 50 Tahun MARA peringkat Selangor yang disempurnakan Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad.
Rusnah berkata sempena sambutan jubli emas MARA pada Selasa ini, pihaknya sedang menggembleng tenaga untuk mencapai hasrat membawa produk-produk keluaran usahawan MARA di negeri itu untuk dipasarkan ke luar negara.
Antara negara yang bakal menjadi tumpuan pasaran produk berkenaan adalah China, Taiwan, Myanmar dan Jepun, katanya.
Sementara itu, usahawan produk herba Dimaz ‘Health and Beauty’, Che Musa Che Salleh berkata kewujudan arked MARA dijadikan platform oleh pihaknya untuk meningkatkan jualan produk sejak mula bertapak dalam perniagaan 18 tahun lepas.
Beliau yang hampir 12 tahun berniaga di Arked MARA Kuala Lumpur, berkata pelbagai usaha yang dilakukan agensi berkenaan untuk menarik pengunjung, amat berkesan dalam membantu usahawan Melayu.
“MARA banyak beri peluang dan ruang kepada usahawan Melayu berkembang dan kita harap agensi berkenaan akan terus membantu usahawan Melayu bersaing dan berjaya dalam perniagaan,” katanya. – Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .