Thursday, April 21, 2016

Kganasan Rumah Tangga

Johari Seman     3:11:00 PM    



Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah keganasan rumah tangga di seluruh negara yang dilaporkan dari Januari hingga April 2015 adalah sebanyak 1,644 kes.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 1,236 kes melibatkan wanita.

“Bagi negeri yang paling banyak mencatat kes keganasan rumah tangga ialah Selangor dengan jumlah sebanyak 275 kes manakala negeri ini (Sarawak) paling rendah dengan 75 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Seminar Literasi Undang-Undang (LUU) Siri Dua bertemakan ‘Strategik Women in Changing Environtment: Knowing The Right!’ di Wisma Bapa di sini, semalam.

Tambah Rohani, statistik kes permohonan perceraian diluluskan bagi 2014 dan 2015 daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pula menunjukkan angka semakin meningkat saban tahun.

“Jumlah kes pada 2014 ialah 25,679 dan dari bulan Januari hingga 4 Jun 2015 sahaja telah mencapai 8,625 kes.

“Senario ini telah mencetuskan satu tahap kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga,” jelasnya.

“Statistik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam.

“Bagaimanapun, ia hanya bagi kes yang berjaya didaftar secara rasmi dan kita tidak pasti berapa kes yang tidak didaftarkan,” tambah Rohani.

Katanya lagi, pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu wanita yang menjadi mangsa perceraian dan sejak 2011, kabinet telah bersetuju dan meluluskan geran dana sebanyak RM15 juta untuk Bantuan Sokongan Keluarga (BSK).

“Kelulusan diberi sebagai bukti sokongan padu kerajaan demi menegakkan keadilan, menjamin kebajikan dan hak yang teraniaya dalam urusan nafkah orang Islam dan demi mempertahankan imej Mahkamah Syariah.

“BSK ini merupakan sebagai pendahuluan bantuan berbentuk kebajikan kepada para isteri dan ibu tunggal bagi meneruskan kehidupan menyara keperluan diri dan anak-anak.

“Bantuan BSK masih diteruskan sehingga sekarang walaupun dana RM15 juta tersebut hanya diluluskan oleh kabinet pada 2011,” tambahnya.

Bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan wanita, kerajaan jelas Rohani, telah membuat pindaan ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang telah dipinda pada 2012 iaitu memperluaskan takrifan keganasan rumah tangga dengan memasukkan elemen penderaan psikologi dan kecederaan emosi sebagai salah satu bentuk keganasan yang sebelum ini hanya menekankan aspek penderaan berbentuk fizikal dan seksual.

“Pihak jabatan akan melaksanakan ‘smart partnership’ dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terus meningkatkan penyebaran makluat dan tahap kesedaran melalui pelaksanaan pelbagai bentuk progam pembangunan kepada wanita terutama dalam mengurangkan kes-kes keganasan rumah tangga dan meningkatkan pengetahuan tentang hak-hak wanita,” katanya.

Rohani amat berharap agar semua program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi impak kepada jati diri insan sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Sementara pada sidang media selepas majlis, Rohani memberitahu bahawa kabinet telah memutuskan definisi atau takrifan ibu tunggal di Malaysia terbahagi kepada kepada tiga iaitu pertama wanita yang telah dicerai secara hidup atau mati masih menanggung anak, kedua seorang isteri yang menjadi ketua keluarga mencari nafkah serta menjaga suami yang tidak berupaya untuk bekerja (sebab sakit) tetapi ada anak masih dalam tanggungan dan ketiga wanita yang mengangkat anak atau mempunyai anak luar nikah.

“Pada dua minggu lepas, kita telah membawa kertas ke kabinet bertajuk takrifan untuk ibu tunggal dan pelan tindakan ibu tunggal di Malaysia.

“Sebab kita dapati terlalu banyak pihak mengadakan program untuk ibu tunggal tetapi secara masing-masing dan oleh sebab itu, kita mahu membuat satu persamaan iaitu satu pelan tindakan untuk mencapai satu tujuan,” jelasnya.

Tambahnya, sebelum ada definisi khas tersebut takrifan ibu tunggal terdapat bermacam-macam sehinggakan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) ketika ditanya oleh kementerian jumlah ibu tunggal semasa bancian penduduk 2010 di Malaysia berjumlah 800,000.

Namun demikian jelas Rohani, selepas takrifan ini dibuat dan DOSM membersihkan data mereka daripada 800,000 dahulu telah menjadi 235,000 (mudah diuruskan).

“Jadi, semasa kita buat program dan peruntukan untuk ibu tunggal dan mengumpulkan ibu tunggal ini bermacam-macam definisi terutama definisi utama sebelum ini adalah ibu yang bercerai walaupun tiada anak dan ia salah.

“Sebab itu, kita menetapkan tiga definisi ini dan kabinet telah meluluskannya dan lebih mudah diuruskan,” katanya.

Rohani turut memaklumkan telah meminta pengarah DOSM untuk membahagikan ibu tunggal kepada kategori seperti mengikut usia, kerjaya dan taraf pendidikan supaya kementerian benar-benar dapat membuat program untuk memenuhi dan sesuai mengikut kehendak ibu tunggal.

Justeru jelasnya, beliau telah mengarahkan pegawai di kementeriannya serta DOSM untuk membawa pelan tindakan tersebut supaya kita di Malaysia dapat menggunakan istilah yang sama bagi ibu tunggal.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .