Tuesday, June 21, 2016

BN Menang Dua PRK Hadiah Hari Raya Dari Rakyat

Johari Seman     2:20:00 PM    

TATKALA pengumuman rasmi dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kemenangan kepada parti-parti yang bertanding iaitu Barisan Nasional (BN), Pas, Parti Amanah Negara (PAN) dan Bebas maka selesai sudah percaturan politik tempatan pada kali ini.

Seperti yang diketahui umum, BN berjaya memperoleh kemenangan yang agak selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Tidak dinafikan bahawa suasana PRK kali ini lebih aman dan tenang bagi menghormati bulan Ramadan. Jentera parti pula telah mengehadkan acara-acara yang tidak bersesuaian pada bulan mulia ini.

Namun begitu, berdasarkan pemerhatian saya di lapangan, parti-parti yang bertanding giat menjalankan kempen mereka pada siang hari. Cuaca yang kadangkala panas dan hujan langsung tidak membantutkan pergerakan jentera parti dan calon untuk berjumpa dengan masyarakat setempat.

Dalam pilihan raya, pasti ada calon yang akan menang dan kalah. Kali ini, Datin Mastura Mohd. Yazid dan Budiman Mohd. Zohdi telah dipilih sebagai calon BN dan kemenangan berpihak kepada mereka dengan jayanya.

Faktor gender bukanlah suatu yang kritikal dalam amalan demokrasi matang di negara maju. Kredibiliti serta kemampuan seseorang calon itu lebih signifikan serta melangkaui kemampuannya sebagai seorang wanita atau lelaki.

Mastura disifatkan sebagai pemangkin kepada kepimpinan Parlimen Kuala Kangsar bagi membawa wadah perjuangan warga Kuala Kangsar yang mengharapkan kepada pembangunan yang lebih baik serta membantu penduduk dalam meningkatkan taraf hidup sekali gus menjamin sebuah kehidupan yang lebih baik.

Semangat yang dijulang oleh Mastura untuk meneruskan kepimpinan arwah suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad seharusnya disambut baik kerana perjuangan beliau boleh dianggap sebagai sebuah perjuangan yang masih belum selesai dan beliau mahu membantu merealisasikan perjuangan arwah suaminya.

beginilah-cara-calon-bn-prk-kuala-kangsar-berkempenWalaupun terdapat desas-desus atau spekulasi yang menghambat Mastura akibat daripada kekangan beliau untuk keluar berkempen serta berada dalam tempoh idah, perkara ini tidak menghalang para pengundi untuk tidak menyokong beliau atau parti.

Berlainan pula dengan Budiman yang dilihat amat mesra dan disukai oleh penduduk tempatan.
Kesederhanaan yang menjadi pegangan beliau menonjolkan sikap seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan disenangi oleh ramai pihak. Pemimpin sebeginilah yang diperlukan dalam mana-mana kepimpinan sama ada organisasi kecil mahupun besar.

Tidak kurang hebat juga jentera parti-parti Pas, PAN dan Bebas menjalankan kempen. Poster dan bendera parti merupakan antara kemeriahan yang dapat dilihat di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Walaupun terdapat anasir negatif yang cuba mengotorkan perjalanan kempen dengan meletakkan poster atau papan tanda yang berbaur kebencian, mencomotkan wajah calon pada poster dan bermacam-macam lagi tetapi tiada insiden buruk sehingga mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah.

Kematangan dan kebijaksanaan politik ini diharapkan berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Kemenangan yang berpihak kepada BN bukanlah tiket untuk mendabik dada sebelum menangnya PRU ke-14. Kemenangan ini patut dijadikan iktibar dan pembakar semangat kepada semua jentera parti untuk bekerja lebih keras supaya dapat mengekalkan dan meningkatkan sokongan pengundi pada masa akan datang.

Jika parti yang menang atau tidak menang hanya bersandarkan kepada angka undi yang meletakkan mereka pada tahap yang sangat selesa, situasi ini boleh membawa kepada masalah yang lebih besar jika tidak ditangani segera.

Pas dan PAN menghadapi konflik masing-masing malah mereka perlu berusaha untuk meyakinkan rakyat tentang kekuatan dan kerelevanan parti mereka pada masa kini.

Begitu juga dengan BN sebagai sebuah parti yang lama dan dominan dalam beberapa siri pilihan raya sejak dahulu lagi perlu diyakini oleh para pengundi tentang masa depan survival parti.

Segalanya mungkin boleh berlaku dan penyertaan serta pendidikan politik setiap pengundi seringkali berubah-ubah. Tiada ketetapan dalam pemilihan parti mana yang boleh dan layak untuk membentuk kerajaan.

Keterujaan pengundi untuk melihat perubahan politik dalam iklim politik tempatan tidak boleh dilihat sebelah mata. Demokrasi yang diperjuangkan bukan hanya bersandarkan kepada kematangan politik atau kepimpinan politik yang baik sahaja tetapi kepercayaan dan kesederhanaan perlu diterapkan supaya tidak lagi wujud mana-mana individu yang gelojoh dalam merealisasikan agenda yang bersifat asing atau hanya syok sendiri.

DR. NOOR SULASTRY YURNI AHMAD ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sastera dan Sosial,Universiti Malaya

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .