Wednesday, June 1, 2016

Budiman ada X-Factor, kata penganalisis

Johari Seman     4:34:00 PM    

SHAH ALAM - Calon BN, Budiman Mohd Zohdi mempunyai X-Factor yang mampu menarik semua golongan untuk mengundinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun nanti.

Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, Budiman mempunyai pekerti yang boleh membuatkan pengundi atas pagar, golongan muda dan bukan Melayu memberikan undi mereka kepada beliau.

“Budiman seorang yang bekerja, rajin dan mempunyai hubungan baik dengan anak muda. Dia juga menguasai dunia anak muda kerana aktif dalam Facebook.

“Anak muda Sungai Besar mengenali beliau sebagai wakil rakyat Sungai Panjang yang selalu menyertai kegiatan bola sepak, memancing dan bermotosikal,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Budiman juga seorang yang peka dengan sensitiviti masyarakat setempat kerana selalu menghadiri kenduri dan menziarahi orang sakit atau mati.

“Dari sisi itu saya rasa Budiman adalah seorang yang hebat dan beliau lebih dikenali berbanding calon Pas atau calon lain yang bertanding nanti.

“Semua kelebihan dan kehebatan tersebut boleh membuatkan anak muda atau pengundi atas pagar menilai beliau,” katanya.

Katanya, kelebihan yang ada pada Budiman itu juga dilihat mampu mengatasi isu nasional yang menggugat BN dewasa ini.

“Isu nasional banyak mempengaruhi pengundi bukan Melayu tetapi ia tak ada kena mengena dengan kredibiliti Budiman,” katanya.

Bagaimanapun, Agus berkata, Budiman masih perlu bekerja keras untuk mendapat undi daripada orang bukan Melayu.

“Dia perlu memiliki sokongan peribadi daripada bukan Melayu melalui kelebihan peribadinya.

“Kalau nak harap parti memang sedikit bermasalah kerana pengundi bukan Melayu sedikit menjauhkan diri daripada BN,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .