2 Cedera BAS Rempuh 10 Kereta - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Monday, July 11, 2016

2 Cedera BAS Rempuh 10 Kereta




IPOH, 10 Jul — Dua cedera selepas kereta mereka naiki dirempuh bas yang merempuh sembilan lagi kenderaan di Kilometer 265.8 Lebuhraya PLUS arah selatan selepas Terowong Menora di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, lapor portal Harian Metro, bas yang dipercayai hilang kawalan, merempuh beberapa kereta di depannya, yang menyebabkan 10 kereta mengalami kerosakan.

Rakaman video, kira-kira 13 saat, yang menunjukkan insiden rempuhan itu tersebar meluas di media sosial, Facebook dan Twitter.

Pengguna lebuh raya itu juga memuatkan foto kereta-kereta yang rosak akibat nahas tersebut.

Pegawai polis Bukit Aman berkata kemalangan itu mengakibatkan dua mangsa dalam kereta, dipercayai kereta pertama dirempuh bas berkenaan, cedera.

“Bas ekspres itu yang dalam perjalanan ke selatan dan membawa 28 penumpang, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh 10 kereta di depannya,” kata komander lebuh raya zon utara ASP Hazil Reza Mohd Ghazali.

“Setakat ini hanya dua mangsa itu dilaporkan cedera manakala pemandu dan penumpang bas serta kereta lain tidak cedera,” katanya ketika dihubungi akhbar tersebut.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan, sama ada kemungkinan kecuaian pemandu bas atau pemandu terbabit mengantuk atau masalah teknikal.

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Supt Wan Jamil Wan Chik berkata kesemua 28 penumpang dan pemandu bas persiaran itu dilaporkan selamat.

Beliau berkata semasa kejadian, bas berkenaan yang tidak diketahui destinasinya secara tiba-tiba melalui bahagian lebuh raya itu lalu merempuh tiga kereta di hadapannya.

"Semua pemilik kenderaan telah membuat laporan polis di cawangan Trafik Ipoh. Pemandu bas itu akan ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Ketika kejadian, katanya, aliran trafik di lebuh raya itu bergerak perlahan.

"Polis Perak memandang serius kejadian ini. Kita akan siasat secara menyeluruh sama ada ia melibatkan isu-isu teknikal, kelalaian dan pengaruh dadah atau alkohol," katanya.

Menurut agensi berita itu lagi, jurucakap PLUS ketika dihubungi berkata kemalangan itu menyebabkan kesesakan trafik sepanjang 11 kilometer di lebuh raya itu.

Semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dapat dialihkan kira-kira 4.30 petang, katanya.

-Malay Mail
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: 2 Cedera BAS Rempuh 10 Kereta Rating: 5 Reviewed By: Johari Seman