Ayam RM30 Seekor Harga Hisap Darah - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Saturday, July 9, 2016

Ayam RM30 Seekor Harga Hisap Darah

KOTA BARU, 9 Jul ― Segelintir peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah di sini mengambil kesempatan sempena sambutan Aidilfitri dengan menjual ayam sehingga RM30 seekor tanpa menggunakan alat penimbang.

Perbuatan itu dikesan dalam pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan di pasar berkenaan hari ini.

Pengarahnya Datuk Abdul Ghani Harun berkata hasil pemeriksaan itu mendapati ada peniaga meletakkan tanda harga RM8 bagi sekilogram ayam, namun menjualnya dengan harga RM12 sekilogram.

“KPDNKK Kelantan mengesan kebanyakan peniaga menaikkan harga ayam sejak Khamis lepas dan kita menerima 16 aduan dari seluruh negeri berhubung kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Justeru, katanya, pihaknya mengeluarkan 17 notis tunjuk sebab kepada peniaga ayam di pasar tersebut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata peniaga yang diberikan notis diminta memberi jawapan dalam tempoh dua minggu berhubung kesalahan yang dilakukan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan mahkamah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati peniaga mendakwa terpaksa menaikkan harga ayam kerana dibeli dengan harga yang tinggi daripada pemborong.

Katanya, kesemua cawangan KPDNKK termasuk di Pasir Mas, Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah turut diarah supaya menjalankan pemeriksaan harga ayam.

Sebelum ini, KPDNKK menyenaraikan 21 jenis barangan termasuk ayam dengan harga RM7.90 sekilogram di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri berkuat kuasa dari 16 Jun hingga 6 Julai. ― Bernama


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Ayam RM30 Seekor Harga Hisap Darah Rating: 5 Reviewed By: Johari Seman