Saturday, July 9, 2016

Hampir Sebulan Suami Hilang Di Hutan

Johari Seman     1:33:00 PM    

GUA MUSANG - “Sebelum suami saya pergi ke hutan, saya bermimpi tiga malam berturut-turut yang suami akan meninggal dunia,” kata Maskah Ab Kadir, 37, isteri kepada Zarani Abdullah Zawawi, 37, yang dilaporkan hilang di Pos Pulat, di sini, sejak 13 Jun lalu.

Meskipun mimpi hanyalah mainan tidur, namun dia sendiri berasa pelik dengan mimpi berkenaan, lantas memberitahu suaminya mengenai mimpi itu.

“Saya pelik dan tidak sedap hati bila tiga malam berturut-turut saya mimpi benda yang sama. Lalu, saya beritahu suami mengenainya.

“Suami hanya diam seribu bahasa dan keesokannya dia beritahu mahu ke hutan. Saya memang berat hati nak lepaskan dia pergi, namun dia tetap berkeras mahu ke sana bersama rakannya.

“Dia beritahu hanya seminggu di hutan kerana tidak lama lagi raya. Bekalan makanan yang dibawa juga cukup-cukup untuk seminggu,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lah, di sini.

Terdahulu, Zarani bersama seorang rakan Orang Asli, Sudin Salleh, 30, dikatakan keluar dari rumah menaiki kereta Proton Iswara untuk mencari kayu kemuning di hutan Pos Pulat, dekat sini.

Namun, setelah lebih dua minggu tidak pulang ke rumah, isterinya tampil membuat laporan polis supayausaha mencari turut dilakukan bersama penduduk kampung kerana Zarani berjanji untuk ke hutan seminggu sahaja.

Sedia baju raya sedondon Biarpun usaha mencari dilakukan hari demi hari tidak berhasil, namun Maskah tetap berharap suaminya pulang dengan selamat, malah turut menyediakan kelengkapan raya seperti baju baharu sedondon.

“Dua tiga hari sebelum raya, saya turut membeli kelengkapan termasuk baju sedondon buat saya, suami dan anak-anak (Zahiril Irsham, 8 dan Zaharah Insyirah, 6).

“Saya sediakan baju ini kerana berharap dia akan pulang sama ada sehari sebelum raya, malam raya ataupun di pagi raya. Kelengkapan lain hanya ala kadar kerana yang penting, dia pulang.

“Anak-anak juga sering bertanya mengenai bapa mereka dan saya hanya beritahu, nanti ayah balik. Saya sedih bila mengenangkan raya tahun ini tanpa suami seperti tahun sebelum ini,” katanya.

Tambah Maskah lagi, suaminya berjanji untuk ke hutan seminggu sahaja kerana mahu meraikan Aidilfitri bersama dan kemudian berpindah ke rumah baharu selepas raya.

“Kami adalah salah seorang penerima Rumah Kekal Banjir dan bercadang untuk pindah ke rumah baru selepas raya. Selepas banjir lebih dua tahun lalu, kami hanya tinggal di dewan berhampiran kerana rumah musnah.

“Saya berharap sangat suami akan pulang dengan selamat. Namun, jika ditakdirkan dia sudah tiada, sekurang-kurangnya saya nak lihat tubuh badannya.

“Sehingga kini, usaha mencari oleh penduduk kampung masih belum menemui sebarang hasil. Namun, saya berterima kasih kepada mereka kerana tidak berputus asa,” katanya sebak.

Polis perlu gandakan pencarian

Hampir sebulan hilang di hutan belantara, Penyelia Mukim Nenggiri, Ahmad Kamizi Jalil, 48, menggesa pihak berkuasa mengambil langkah drastik dalam operasi mencari mangsa.

Katanya yang juga sepupu Zarani, usaha mencari perlu digandakan dan sekiranya berdepan dengan kekurangan anggota, polis boleh meminta bantuan daripada pihak lain termasuk tentera.

“Selain anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), misi mencari ini turut disertai penduduk kampung dan keluarga kedua- dua mangsa.

“Kes orang hilang bukanlah perkara remeh, ia perlu dilakukan dengan cepat. Mungkin dengan langkah itu kita dapat menyelamatkan nyawa mereka kerana tempoh 27 hari bukanlah satu tempoh pendek di hutan,” katanya lagi.

Tambah Kamizi, dia amat bersimpati dengan nasib yang menimpa Maskah dan anak-anak, apatah lagi pada musim perayaan sebegini.

“Penduduk yang turut serta dalam misi ini masih belum pulang. Selalunya selepas pulang, mereka akan memaklumkan apa-apa maklumat baru yang ditemui di hutan,” katanya.

Penduduk temui tempat pengumpulan kayu

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail memberitahu, penemuan terakhir dalam misi pencarian adalah tempat pengumpulan kayu dipercayai milik mereka berdua.

Katanya, perkara itu dimaklumkan sekumpulan penduduk kampung yang turut serta dalam usaha mencari di sekitar kawasan hutan terbabit.

“Kita sudah meminta bantuan daripada Bukit Aman untuk mendapatkan anggota Pasukan Gerakan Am bagi meneruskan operasi ini. Kita sedang menunggu kelulusan dan usaha mencari akan diteruskan bagi menjejaki dua rakan berkenaan,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .