Ku Li Mahu Bersara Dari Dunia Politik - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Friday, July 15, 2016

Ku Li Mahu Bersara Dari Dunia Politik

GUA MUSANG 14 Julai – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Raza­leigh Hamzah menetapkan pendirian untuk tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, sudah terlalu lama beliau menjadi wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Gua Musang iaitu 45 tahun dan tiba masanya untuk beliau berundur walaupun rakyat masih menyukainya.

Veteran UMNO itu berkata, hasrat tersebut juga sudah beberapa kali dinyatakan dalam mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian tetapi majoriti tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

“Saya kata tidak boleh tongkat langit, saya sudah lama sangat... sudah 45 tahun jadi wakil rakyat, manakala menerajui UMNO Bahagian pula sudah dekat 60 tahun.

“Usia saya telah mencecah 80 tahun, sudah tidak mampu lagi hendak pikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan tiba masanya ada orang lain ganti,” katanya selepas Majlis Mesra Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab. Ghani: Setiausaha UMNO Bahagian, Tuan Mustapha Tuan Soh dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Mohd. Syahbudin Hashim.

Tengku Razaleigh menegaskan, bukan beliau seorang sahaja yang layak memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu tetapi ramai lagi yang boleh dijadikan pilihan rakyat.

Beliau berkata, hasrat persaraannya itu juga pernah diumumkan kepada rakyat di kawasan Parlimen Gua Musang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini untuk berundur kerana telah terlalu lama menjadi wakil rakyat.

“Tetapi majoriti masih mahu saya menerajui UMNO dan menjadi wakil rakyat kerana alasannya mereka takut kawasan ini hilang dan jatuh ke tangan pembangkang.

“Sebenarnya perkara ini tidak bergantung kepada saya, kawasan ini akan selamat selagi ada perpaduan dan kerjasama. Saya rasa tidak menjadi masalah jika saya membuat keputusan berundur pada PRU-14 akan datang,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Ku Li Mahu Bersara Dari Dunia Politik Rating: 5 Reviewed By: Johari Seman