Friday, July 8, 2016

ROBOT GANTI MANUSIA UNTUK BEKERJA

Johari Seman     1:24:00 PM    

SINGAPURA: Lebih separuh pekerja di lima negara di Asia Tenggara berdepan risiko hilang pekerjaan akibat diganti robot dalam tempoh dua dekad dengan industri pakaian paling berisiko.

Satu kajian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati, 137 juta atau 56 peratus pekerja dari Kemboja, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, semuanya termasuk dalam kategori yang berisiko.

“Negara yang bersaing dengan tenaga buruh murah perlu menyusun semula kedudukan mereka. Kelebihan harga kini tidak lagi mencukupi,” kata pengarah biro ILO untuk aktiviti majikan, Deborah France-Massin.

Laporan itu memberitahu, pekerja kini perlu dilatih untuk bekerja secara berkesan bersama robot.

Asia Tenggara yang mempunyai 630 juta penduduk adalah hab untuk beberapa sektor pembuatan termasuk tekstil, kenderaan dan komponen komputer.

Seramai sembilan juta penduduk di Asia Tenggara bekerja di sektor tekstil, pakaian dan kasut.

Menurut ILO, 64 peratus pekerja di Indonesia, 86 peratus di Vietnam dan 88 peratus di Kemboja berisiko diganti oleh robot.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu memberitahu, teknologi seperti percetakan 3D, teknologi nano dan robotik bakal digunakan secara meluas di sektor itu.

“Robot kini semakin bagus di bahagian pemasangan, murah dan semakin mudah bekerja sama dengan manusia,” jelasnya.

Antara sektor yang dijangka turut terjejas termasuk automotif, alat ganti kenderaan, elektrik dan elektronik dan peruncitan.

- Reuters

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .