Monday, July 11, 2016

Saya Reda Jika Itu Suami Saya

Johari Seman     11:06:00 AM    

GUA MUSANG - "Saya reda jika itu suami saya,” kata Maskah Ab Kadir, 37, isteri kepada pencari kayu kemuning yang dilaporkan hilang sejak 13 Jun lalu di hutan Pos Pulat, di sini.

Maskah berkata demikian setelah penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari suaminya, Zarani Abdullah Zawawi, 37, menemui rangka di kawasan berhampiran bangsal di tengah hutan berkenaan.

Katanya, biarpun rangka yang ditemui itu masih belum disahkan suaminya, namun dia berharap agar teka-teki itu terjawab.

“Setiap hari saya berdoa dan sembahyang hajat agar ALLAH SWT memberi petunjuk di mana suami saya berada.

“Malah, selain operasi mencari, penduduk kampung juga turut mengadakan solat hajat di masjid dan surau secara berjemaah sebagai usaha lain.

“Saya reda walau bagaimana sekali pun bentuk penemuan. Yang penting, dia dijumpai,” kata ibu kepada Zahiril Irsham, 8, dan Zaharah Insyirah, 6.

Zarani dan rakannya yang juga Orang Asli, Sudin Salleh, 30an, keluar dari rumah menaiki kereta jenis Proton Iswara, pada 13 Jun lalu, untuk mencari kayu kemuning di Pos Pulat, di sini.

Namun, setelah dua minggu hilang tanpa berita, isterinya tampil membuat laporan polis setelah pencarian penduduk kampung gagal menemui hasil.

Turut bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga Zarani dan Sudin, Bendahari Umno Bahagian Gua Musang, Zamzani Harun turut menziarahi dua keluarga ini di kediaman mereka. Hadir sama Ketua Penerangan Umno Bahagian, Mohd Syahbuddin Hashim dan Pentadbir Mukim Dun Nenggiri, Ahmad Kamizi Jalil.

-Sinar Harian

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .