Thursday, September 1, 2016

Perubahan syarat tak jejas diskaun Bumiputera: Azmin Ali

Johari Seman     5:46:00 PM    

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan diskaun 10 peratus untuk Bumiputera bagi pembelian tiga jenis hartanah komersial mampu milik akan dimansuhkan berkuat kuasa September.

Katanya, walaupun akan ada perubahan dalam syarat dan dasar pemilikan hartanah mampu milik bagi pangsapuri khidmat, Pejabat Kecil Pejabat Rumah (SOHO) dan Pejabat Kecil Pejabat Maya (SOVO), ia tidak membabitkan pemansuhan diskaun 10 peratus kepada Bumiputera.

“Datuk Teng Chang Kim (EXCO Selangor) ada menghubungi saya memaklumkan salah faham berkaitan dengan kenyataannya, berhubung garis panduan baharu bagi pembelian hartanah mampu milik di negeri ini.

“Bagi kerajaan negeri, tidak wujud istilah perkauman atau perbezaan agama bagi syarat pemilikan hartanah mampu milik terutama membabitkan isu kemiskinan.

“Ada garis panduan baharu yang telah dipersetujui dan akan diumumkan sendiri oleh EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Samad dan EXCO Pelaburan, Perindustrian IKS dan Perdagangan dan Pengangkutan negeri Datuk Teng Chang Kim,” katanya di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini mengenai garis panduan baharu pemilikan hartanah mampu milik termasuk pemansuhan diskaun 10 peratus untuk Bumiputera bagi pembelian pangsapuri khidmat, SOHO dan SOVO mampu milik.

Mohamed Azmin berkata, tiada sebarang pemansuhan akan dibuat, tetapi akan ada perubahan dalam kuota pemilikan bagi memastikan lebih ramai rakyat yang berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki hartanah mampu milik yang ditawarkan kerajaan negeri.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .