Mahatir Pura-Pura Jahil'Raja-Raja Tiada Kuasa Pecat Perdana Menteri' - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Wednesday, October 12, 2016

Mahatir Pura-Pura Jahil'Raja-Raja Tiada Kuasa Pecat Perdana Menteri'

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-242 yang berlangsung minggu . ini pastinya menjadi tumpuan sama ada ia akan turut membincangkan tuntutan daripada Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau tidak. Usaha yang dilakukan Deklarasi Rakyat ini telah pun dimaklumkan oleh Mahathir dalam surat dihantar kepada semua raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri, 4 Oktober lalu. Mahathir mendakwa, Majlis Raja-Raja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagaimanapun, pengamal undang-undang, DATUK SALEHUDDIN SAIDIN (GAMBAR)dalam temu bual dengan Sinar Harian semalam menepis dakwaan Mahathir itu. Katanya, Mahathir tidak memperincikan secara jelas peruntukan kononnya Majlis Raja-Raja mempunyai hak tersebut di bawah undang-undang.
Ikuti penjelasan lanjut beliau bersama wartawan Sinar Harian, SITIAZIELAH WAHI dan jurufoto,HALIM WAHID.


Bagaimana Datuk lihat kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir baru- baru ini yang beiharap raja-raja bertindak atas apa yang berlaku dalam kerajaan?
Baru-baru ini kita telah didedahkan oleh Tun Mahathir yang menyatakan terdapat satu Deklarasi Rakyat daripada sejumlah lebih 1.2 juta orang bagi mendesak Majlis Raja-Raja supaya Datuk Seri Najib Tun Razak dipecat atau digugurkan daripada pentadbiran kerajaan negara ini.Dan saya juga difahamkan pihak Tun Mahathir telah menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan Deklarasi Rakyat tersebut.
Kalau kita perhatikan kepada desakan Tun Mahathir dan pihak-pihak yang menyokong beliau pada dasarnya Tun Mahathir mahukan agar Majlis Raja-Raja bertindak atas nama Perlembagaan Negara.
Tapi malangnya cadangan yang dikemukakan oleh beliau kepada Majlis Raja-Raja bertindak atas dasar mempunyai hak dibawah undang-undang tidak diperjelas secara terperinci tentang peruntukan yang berkaitan di dalam perlembagaan dan apakah sebenarnya kuasa Majlis Raja-Raja dan raja-raja Melayu ini tidak perjelaskan.
Saya yakin ia tidak dijelaskan kerana mereka sendiri mengetahui bahawa dalam sistem pemerintahan raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini institusi raja sebenarnya tertakluk kepada batas dan had-had kuasa sepertimana peruntukan di dalam perlembagaan itu sendiri.

Perlembagaan Negara menyatakan Agong berkuasa memecat Perdana Menteri. Benarkah begitu?
Dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan Agong atau raja-raja mempunyai kuasa mutlak oleh kerana ianya tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang menggariskan kuasa yang dijalankan secara budi bicara dan kuasa yang dijalankan mengikut nasihat.

Walau bagaimanapun di dalam soal perlantikan seseorang perdana menteri, ada peruntukan yang khusus yang memberikan kuasa budi bicara kepada Agong.
Ini sepertimana peruntukan Perkara 43 Fasal 2 Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Agong untuk melantik seorang perdana menteri tetapi ianya tertakluk kepada pra syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

Antara pra syarat penting adalah Agong perlu memastikan seorang calon yang hendak dilantik sebagai perdana menteri perlulah seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli dalam Dewan Rakyat itu sendiri. Itu pra syarat utama.

Ini bermakna sekiranya terdapat pra syarat yang perlu dipenuhi sebelum Agong boleh melaksanakan kuasa baginda bagi melantik seorang perdana menteri maka bermakna jika sekiranya perdana menteri hendak dipecat atau hilang kelayakan, ianya perlu juga memenuhi syarat bahawa beliau telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna Agong tidak diberi kuasa sewenang-wenangnya untuk memecat seorang perdana menteri.

Jadi, bagaiman Tun M berkata Agong mempunyai kuasa memecat perdana menteri?
Di bawah Perkara 43 Fasal 4 ada memperuntukkan bahawa seorang perdana menteri akan lucut jawatan sekiranya beliau hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Oleh itu sekiranya ini berlaku, perdana menteri boleh, sama ada meletakkan jawatan, atau menghadap Agong untuk mencadangkan pembubaran Parlimen dan mengadakan pilihan raya bagi mendapat mandat yang baharu atau sekiranya Agong tidak memberi perkenan untuk bersetuju dengan permintaan perdana menteri, maka seseorang ahli Dewan Rakyat perlu mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan membuat undi sama ada benar kepercayaan majoriti tidak lagi diperoleh.

Berdasarkan kepada undang-undang yang saya rujuk di sini jelas menunjukkan proses perlu dilalui dan dipatuhi.

Jadl sekarang ini kalau kita lihat balik kepada kenyataan yang menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja ada kuasa untuk mengambil tindakan bagi memecat perdana menteri yang telah dilantik melalui proses undang-undang adalah sama sekali tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Jika kita imbas sejarah pemerintah Tun Mahathir, kita pasti tidak akan melupai sejarah pindaan Perlembagaan Persekutuan yang saya percaya ramai antara kita tentu amat arif dan tidak melupai tentang krisis perlembagaan pada bulan Januari tahunl993 yang mana telah dikemukakan satu rang undang-undang pindaan yang menghakis dan mengurangkan kuasa raja-raja atas alasan raja-raja bukan lagi bertindak sebagai payung kepada kekuasaan orang Melayu dan kuasa raja perlu disekat.

Maka, terjadilah pindaan Perlembagaan Persekutuan yang meminda peruntukan Perkara 66 yang menarik kuasaAgong untuk memberi perkenan terhadap sesuatu pindaan atau penggubalan undang-undang.

Ini bermakna sekiranya Agong tidak memberi perkenan terhadap sesuatu rang undang- undang di dalam tempoh 30 hari ianya akan secara automatik menjadi undang-undang. Ini semua petanda kepada penghakisan kuasa Agong dan raja-raja.

Agong dan raja-raja dianggap sebagai satu institusi yang mempunyai peranan yang terlalu kecil atau tidak lagi relevan di dalam sistem pemerintahan kerajaan pada ketika itu. Institusi raja dianggap sebagai satu simbol istiadat semata-mata.

Anehnya, ketika ini mungkin pada saat dan ketikanya peranan raja-raja diperlukan bagi mendapat sokongan terhadap sesuatu perjuangan yang sedang diusahakan maka dengan tiba-tiba institusi raja dikatakan mempunyai peranan besar di dalam menentukan hala tuju pemerintahan kerajaan dan boleh campur tangan di dalam soal pentadbiran kerajaan sedangkan dia (Mahathir) lupa pada suatu ketika dulu dia juga dan kerajaan ketika itu yang bertindak menarik balik kuasa raja dan menghakis saki-baki kuasa raja yang ada pada ketika itu. Tindakan ini saya beranggapan agar satu tindakan yang agak desperate demi mendapatkan sokongan daripadaAgong dan raja-raja.

Adakah ini bermaksud wujud usaha 'menggunakan' pengaruh raja-raja untuk kepentingan tertentu?
Pendekatan seolah-olah bila kita perlukan sokongan institusi ini, kita menyatakan mereka punyai kuasa dan bila kita rasa kita sudah cukup kuat maka sokongan raja-raja tidak diperlukan.

Bagi saya it is very unfair. Dalam masa yang sama jangan pula disalah anggap bahawa Agong dan raja-raja langsung tidak mempunyai kuasa dan saya tidak menyatakan bahawa raja-raja Melayu tidak berkuasa di dalam sistem pemerintahan raja berperlembagaan di negara ini.

Memang kita ada cabang-cabang pemerintahan yang amat penting dan mempunyai peranan masing- masing. Majlis Raja-Raja memang ada peranan di dalam pentadbiran kerajaan, cuma ia agak terhad, di samping pengurangan kuasa yang telah berlaku semasa krisis perlembagaan 1993.

Jadi kalau kita nak katakan Deklarasi Rakyat mahukan campur tangan Majlis Raja-Raja untuk memecat perdana menteri meletak jawatan adalah satu tindakan yang tidak dapat dilaksanakan, kerana saya merasakan Majlis Raja-Raja sememangnya tidak punyai kuasa dan hak sedemikian.

Kalau tak silap saya. Agong juga ada mengeluarkan kenyataan seperti yang saya baca dalam akhbar. Saya tak pasti betul ke tidak...yang menyatakan Majlis Raja-Raja tiada kuasa dan ia perlu dibawa kembali kepada Pariimen Kalau benar itu kenyataan Agong, saya merasakan ia kenyataan atau titah tuanku yang amat tepat.

Dalam pada itu, kenyataan menyatakan Majlis Raja-Raja seolah-olah membisu, tidak mahu campur tangan dengan isu-isu yang melanda negara, saya rasa itu tidak tepat.

Kita tidak boleh menggunakan Majlis Raja-Raja atas kepentingan pihak-pihak tertentu. Seolah-olah menggambarkan Majlis Raja-Raja langsung tak mempedulikan tentang kebajikan dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Majlis Raja-Raja sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan rasmi memohon dan menasihati agar kerajaan ambil tindakanuntuk menyelesaikan apa-apa siasatan yang sedang berjalan terhadap kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan segera bagi mengikis segala kegelisahan dan kegusaran masyakarat.

Jika kita teliti selepas sahaja nasihat dan teguran yang dikeluarkan oleh Majlis Raja- Raja, siasatan telah dipercepatkan pihak berkuasa dan akhirnya selesai.

Oleh itu apabila hasil siasatan diperolehi sama ada ia dipersetujui atau pun tidak, bukan Majlis Raja-Raja putuskan sebab ia telah dilakukan oleh pihak yang bertanggunjawab.

Apabila keputusan telah dibuat, kita tidak boleh terus mendesak Majlis Raja-Raja campur tangan kerana keputusan itu tidak tepat. That is very unfair.

Apa asasnya untuk Majlis Raja-Raja menentukan keputusan bahawa itu dibuat secara adil?.Kita tidak boleh meminta Majlis Raja-Raja untuk berlandaskan kepada persespi.
Pihak berwajib telah mengambil tindakan untuk menyiasat.

Kita, sebagai rakyat, kalau sesuatu itu dilakukan sebagaimana keperluan undang-undang tetapi kita tidak berpuas hati, bagaimana cara untuk kita terjemahkan ketidakpuasan hati kita?
Kita tidak boleh mendesak sesuatu pihak yang pada asalnya memang tiada kuasa dan menggambarkan persespi negatif kepada pihak yang kononnya ada kuasa tersebut, sebaliknya mengambil langkah mengikut proses undang-undang.
Kalau ketua itu dikatakan ada masalah, proses undang-undangnya bagaimana? Kita bawa kepada Parlimen, kita usulkan satu motion tidak percaya kalau itu berjaya kemudian boleh remove melalui proses undang-undang.

Kita tak boleh mengambil tindakan melakukan tindakan street demonstration, mendesak kerajaan digulingkan secara haram. Kerajaan yang dilantik sekarang ini adalah kerajaan yangdipilih secara demokrasi.

Kalau kerajaan dah dipilih secara demokrasi, kita tidak boleh menasihati rakyat, mendesak rakyat untuk menggulingkan kerajaan secara tidak demokrasi.

Mungkin pihak Tun Mahathir katakan proses yang mereka ambil ini proses yang berlandaskan demokrasi Mereka iktiraf institusi diraja sebagai institusi yang mempunyai peranan.

Kalau dulu dia tak recognise tapi sekarang recognise but still they should know. In fact i believe Tun Mahathir punya kumpulan...mereka tentu tahu peruntukan undang-undang itu sendiri, yang agak terhad kuasa diberikan kepada Majlis raja-raja.

Majlis Raja-Raja tidak akan campur tangan? Boleh kita kata begitu?
Saya tak kata Majlis Raja-Raja tidak akan campur tangan The fact that pada persidangan Majlis Raja-Raja yang lalu sudah ada tindakan di dalam bentuk nasihat dan saranan kepada kerajaan.

Dan, untuk terus mendesak Majlis Raja-Raja mengambil tindakan untuk memecat perdana menteri memecat sesiapa sahaja, ianya tidak bertepatan dan saya percaya Majlis Raja-Raja juga ada penasihat-penasihatnya. Yang pasti nasihat tersebut berlandaskan kepada undang-undang.

Undang-undang yang kita pakai adalah Perlembagaan Persekutuan yang jelas menggariskan tidak ada satupun peruntukan dalam perlembagaan persekutuan yang mengatakan bahawa Majlis raja-raja boleh ambil tindakan untuk mengetepikan atau memecat sesiapa.
Kalau tak ada bagaimana kita harapkan Majlis Raja-Raja untuk bertindak sepertimana permintaan, desakan Deklarasi Rakyat tersebut ataupun oleh golongan-golongan tertentuYou can say anything about anybody.

Anda boleh katakan satu kerajaan pimpinan seseorang tidak betul tapi apa proses? Institusi yang kita sandarkan ini adalah satu institusi yang hanya boleh memberi nasihat, menimbang teliti segala keluhan rakyat dan membuat saranan dengan berlandaskan kepada undang-undang.

Maknanya, perlembangan menghalang raja-raja campur tangan atau meminta Najib berundur?
Pada pandangan saya tiada satu pun peruntukan undang-undang yang membolehkan Majlis Raja-Raja untuk mengambil tindakan memecat atau mendesak perdana menteri untuk meletak jawatan apatah lagi kalau kita bercakap tentang perdana menteri dan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Majlis Raja-Raja memang tiada kuasa untuk melakukan sedemikian.

Tun Mahathir ada menyebut terdapat 30 klausa atau peruntukan yang memberikan kuasa penuh kepada Agong terutama dalam Akta MKN untuk menolak anggapan bahawa segala kuasa yang diberikan kepada raja-raja tethakis. Apa komen Datuk?
Dulu bila Tun Mahathir meminda Perlembagaan Persekutuan, dia telah menarik kuasa imuniti raja-raja, kuasa raja-raja untuk tidak meluluskan sesuatu undang-undang yang dipinda di Dewan Rakyat namun kita tidak menyatakan semua kuasa itu ditarik balik.

Memang ada lagi kuasa sepertimana kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri, kuasa budi bicara di dalam menangguhkan atau tidak mempersetujui permohonan pembubaran dewan rakyat oleh perdana menteri, kuasa juga diberikan kepada Agong dalam hal berkaitan penganugerahan, persidangan Majlis Raja-Raja, memang ada lagi kuasa budi bicara dan yang lain-lain pun atas kuasa nasihat daripada perdana menteri dan Kabinet, kita tidak mengatakan keseluruhan ditarik balik. Tetapi, apa yang cuba kita katakan pada krisis perlembagaan 1993 kuasa utama yang diperuntukkan oleh undang-undang kepada institusi raja-raja telah ditarik balik. Itu yang penting.
Bersambung Esok>>
-Sinar Harian
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Mahatir Pura-Pura Jahil'Raja-Raja Tiada Kuasa Pecat Perdana Menteri' Rating: 5 Reviewed By: Johari Seman