Thursday, November 3, 2016

PENDUDUK TAMAN PERPADUAN ALAMI MASALAH TEKANAN AIR RENDAH

Johari Seman     11:00:00 PM    

ALOR SETAR: Kira-kira 100 penduduk di Taman Perpaduan, Kuala Kedah di sini berdepan dengan masalah tekanan air rendah sejak dua tahun lalu.

Seorang penduduk Sofiah Nayan, 73, bekalan air hanya dapat dinikmati dengan sempurna selama dua hari dalam tempoh seminggu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan rutin harian terganggu sehingga terpaksa berjaga malam untuk menadah air dari paip rumah mereka.

“Saya tidak tahu hari apa air akan ada, kadang-kadang air ada satu jam sahaja sehari, kadang-kadang tak ada langsung, kalau air ada pukul 2 pagi, waktu itulah saya akan bangun untuk cuci pakaian dan sebagainya.

“Kalau nak masak atau minum, saya terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli air dari kedai terdekat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perpaduan, Kuala Kedah di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Halini Hashim, 55, berkata dia terpaksa membuka paip air sepanjang masa dan akan menadah air dengan baldi dan besen di depan rumahnya untuk kegunaan harian.

“Ada waktu tertentu air menjadi keruh, tapi saya tetap tadah air… yang penting anak dan cucu saya dapat mandi sebelum pergi bekerja dan ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), Rofedi Sulaiman, berkata gangguan air itu berlaku disebabkan loji di Bukit Pinang, di sini sedang diselenggara dan dijangka pulih sepenuhnya minggu depan.

“Kerja terbabit memberi kesan kepada paras tangki imbangan di Bukit Tinggi, Jitra yang menyalurkan air ke kawasan taman berkenaan sekali gus mempengaruhi tekanan air di kawasan terbabit,” katanya.

(BHONLINE)

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .