Sunday, April 23, 2017

MB tuntut RM60.6 juta untuk serah Lembah Subang

Johari Seman     12:33:00 PM    

PETALING JAYA – Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Lembah Subang (JKPLS) mencadangkan agar satu pertemuan diadakan antara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkenaan tuntutan kos pengurusan PPR Lembah Subang 1 berjumlah RM60.6 juta oleh kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Yusof HM Haniff berkata, kedua-dua pihak boleh memperdebatkan isu ini secara bersemuka.

“Kita bukan hendak mempertikaikan jumlah wang berkenaan tetapi kita mahukan perbincangan ke arah masa depan dan demi kesejahteraan penduduk di sini.

“Jika kerajaan negeri nak tuntut RM60.6 juta atau lebih besar daripada jumlah itu, kedua-duanya harus berbincang melalui satu kesepakatan, dan jika pertemuan ini gagal kita akan bawa ia ke mahkamah,” katanya kepada Media pada program turun padang oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke PPR Lembah Subang 1 di sini, lewat petang semalam.

Pada program itu, Yusof yang hadir bersama JKPLS mengambil peluang menyerahkan memorandum kepada Azmin sambil disaksikan penduduk di situ.

Melalui memorandum itu, beliau meminta agar MBPJ dan kerajaan negeri memberi laluan kepada KPKT dan agensi di bawah KPKT untuk mengurus PPR berkenaan memandangkan MBPJ sebelum ini dilihat seolah-olah menganaktirikan PPR ini.

“Penduduk di sini sangat tertekan dengan keadaan lif, jalan, parking, isu kebersihan, rumah rosak dan lain-lain lagi.

“Saya yakin jika PPR ini diletak dibawah pengurusan KPKT, penduduk berasa lebih selamat dan masa hadapan mereka lebih sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof mendakwa dalam pertemuan singkat dengan Menteri Besar itu, Azmin memaklumkan dengan rela hati bersetuju untuk menyerahkan hal berkaitan pengurusan kepada KPKT cuma bayaran sahaja yang menjadi isu.

“Selepas ini saya akan maklumkan kepada KPKT bahawa kerajaan negeri bersetuju cuma urusan bayaran berjumlah RM60.6 juta dan angka-angka yang disebut itu perlu dibincangkan kedua-dua pihak,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .