Tuesday, May 9, 2017

Dakwaan Mustafa digugur cenderung PH tak masuk akal – PAS

Johari Seman     3:59:00 PM    

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan kononnya bekas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali digugurkan kerana cenderung kepada Pakatan Harapan.

Menurut laporan organ rasmi PAS, Harakahdaily, Tuan Ibrahim berkata dakwaan itu tidak masuk akal yang dilakukan pihak tertentu untuk mengelirukan ahli dan penyokong PAS.

Katanya, sebelum susunan jawatankuasa baru PAS bagi sesi 2017-2019 dibuat, Mustafa menemui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan untuk mengundur diri.

“Datuk Mustafa sebenarnya yang meminta untuk dikecualikan daripada jawatan berkenaan,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Penjelasan tersebut sekali gus menafikan pandangan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendedahkan bahawa kecenderungan ke arah Pakatan Harapan punca sebenar Mustafa digugurkan daripada jawatan lamanya.

Menurut laporan Sinar Harian, Tuan Ibrahim berkata Mustafa mahu memberi laluan kepada pemimpin baharu.

“Cikgu Pa minta supaya kalau boleh diberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu kerana dia sudah lama dan pada pandangan beliau juga sudah sampai waktunya barisan pelapis diangkat.

“Beliau bersedia menjadi penasihat dan pembimbing kepada parti menjelang pilihan raya ini. Presiden juga telah melihat cadangan beliau ini sebagai positif dan kita wujudkan satu jawatankuasa untuk menjadi penasihat kepada presiden,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .