Tuesday, May 9, 2017

Dua penjaja bawa lari lori MBPP didakwa

Johari Seman     4:10:00 PM    

GEORGE TOWN, 9 Mei: Dua penjaja yang bertindak membawa lari lori milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas berang apabila penguat kuasa merampas barangan di gerai milik mereka Khamis lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mohamad Haziq Ammar Mohd Hussein, 28, dan Abdul Muhaimin Mohd Hasan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dengan membawa lari lori jenis Hicom milik MBPP di gerai makan hadapan Balai Bomba Bagan Jermal, Tanjong Tokong di sini pada jam 8.30 malam, 4 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam M. Puveneswaran yang mewakili Mohamad Haziq dan Abdul Muhaimin memohon anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang munasabah iaitu dalam lingkungan RM2,000 kerana kedua-dua tertuduh hanya bekerja sebagai penjaja dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Husin.–Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .