Hospital di Malaysia Dijangka Tidak Diserang Siber ‘Ransomware' - SELANGOR POST

UTAMA

VIDEO

POLITIK

HIBURAN

BERITA SEMASA

PENA PENGARANG

JENAYAH

SUKAN

» » Hospital di Malaysia Dijangka Tidak Diserang Siber ‘Ransomware'

SEGAMAT, 13 Mei : Kementerian Kesihatan menjangkakan hospital di Malaysia tidak akan mengalami serangan siber ‘ransomware’ yang kini melumpuhkan perkhidmatan kesihatan di England kerana negara ini masih belum mempunyai sistem pangkalan data seperti di negara itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata pihaknya juga dimaklumkan bahawa kerajaan sedang meningkatkan sistem kawalan khusus dalam berhadapan dengan ancaman keselamatan siber seumpama ini.

“Buat masa ini, serangan ransomware mungkin tidak akan memberi kesan yang besar kepada negara kita kerana kita masih belum ada sistem pangkalan data kesihatan bersepadu nasional, cuma secara asing sahaja. Di England, mereka mempunyai sistem ini dan jika kena (serangan siber), keseluruhan sistem pangkalan data di seluruh negara juga akan kena.

“Bagaimanapun, kita sememangnya ke arah mengintegrasikannya dan bila itu terjadi, ini adalah antara satu risiko. Ini kerana kalau kena di satu tempat, mungkin ia boleh merosakkan (sistem) di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat kebangsaan di Dewan Putra, Felda Palong Timur di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap, Norshida Ibrahim, Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Rooshaimi Merican A Rahim Merican.

Subramanian yang juga Anggota Parlimen Segamat berkata, orang ramai termasuk doktor tidak perlu risau mengenai perkara ini kerana sistem pangkalan data masih belum diintegrasikan lagi.

“Setiap hospital di negara ini mempunyai sistem mereka sendiri. Kalau kena pun (serangan siber) mereka sahaja yang kena dan tidak melalui seluruh negara.

“Lagipun sistem kita (Kementerian Kesihatan) diuruskan oleh Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) selain Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga turut dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan siber di negara ini,” katanya.

Hari ini akhbar melaporkan hospital dan pakar pembedahan di seluruh England terpaksa menolak pesakit dan membatalkan janji temu selepas serangan siber berkenaan melumpuhkan sebahagian sistem komputer perkhidmatan kesihatan kendalian negara itu.

Dalam pada itu, Dr Subramanian berkata kes malaria di negara ini menunjukkan penurunan kes lebih 90 peratus sejak Malaysia melaksanakan Program Eradikasi Malaria sejak empat dekad lepas.



Beliau berkata langkah jangka masa panjang itu akhirnya memberi kesan positif dalam usaha menjadikan Malaysia bebas malaria menjelang 2020.

“Pada tahun 1961, jumlah kes malaria hampir mencecah 250,000 kes. Jumlah itu kemudiannya menurun kepada 12,000 kes pada 2000 dan pada tahun lepas, 2,302 kes sahaja.

“Ini merupakan satu kejayaan besar kerana kita berjaya menurunkan penularan penyakit daripada seorang pesakit kepada pesakit baharu,” katanya.

Katanya walaupun kes malaria dapat dikurangkan, namun usaha membanteras penyakit berkenaan perlu terus dilaksanakan terutama dalam menghadapi cabaran lain yang berkaitan dengannya.

— BERNAMA

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,