Monday, May 15, 2017

PAS Bidas Noh Omar Tidak Faham Tahaluf dan Taawun

Johari Seman     11:46:00 AM    

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi menyifatkan kenyataan Tan Sri Noh Omar Pengerusi BN Selangor tentang PAS Selangor Dayus adalah ibarat “meludah ke langit” dan menggambarkan kekecewaan beliau kerana gagal memecahkan kerajaan Selangor seterusnya menarik PAS untuk bersama UMNO.

Katanya, Noh Omar sepatutnya melihat UMNO dan BN Selangor sendiri yang terus menikus dan mendayus terhadap kelemahan Kerajaan Persekutuaan.

“PAS terus kekal dalam kerajaan Selangor pada hari ini kerana menunaikan hak yang diberikan oleh rakyat dan kematangan pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini. Perbezaan yang ada antara parti adalah kelebihan kerajaan negeri yang ada pada hari ini terutama dalam mengambil kira maslahah rakyat dan memberikan perkhidmatan.

” Noh Omar juga perlu belajar tentang makna Tahaluf dan Taawun, kejahilan untuk memahami inilah menyebabkan beliau minta Exco PAS supaya meletakkan jawatan. Keterlibatan PAS dalam kerajaan adalah untuk bertolongan dalam kebaikan dan takwa.

“Sejarah telah membuktikan, di saat DAP memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat, DAP melalui exconya tidak meletak jawatan, bila masyarakat mempersoalkan Lim Guan Eng menjawab yang DAP perlu terus berada dalam kerajaan supaya PAS tidak buat kerja jahat. Oleh sebab itu, PAS perlu terus berada dalam kerajaan dan exco mesti terus berkhidmat supaya PAS dapat buat kerja baik dan DAP tidak buat kerja jahat”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru – baru ini Tan Sri Noh Omar di petik berkata PAS Selangor dilabel sebagai parti ‘tidak bermaruah’ dan oportunis kerana masih mahu berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor walaupun hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditamatkan semalam.

Beliau berkata alasan parti Islam itu untuk tetap kekal dalam pentadbiran Selangor kerana mahu menunaikan mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu adalah tidak munasabah.

Ini kerana katanya mandat rakyat adalah berdasarkan manifesto DAP-PKR-PAS yang diterajui bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah dipecat.

“Kalau PAS kata PKR khianat syarat tahaluf siyasi, kenapa masih mahu berada dalam kerajaan Selangor? PAS dan PKR ibarat ‘suami isteri’ yang sudah bercerai tapi masih mahu tinggal bersama… PAS sanggup jadi ‘suami’ dayus.

“Saya yakin ketiga-tiga anggota Exco PAS ini tidak akan letak jawatan. Mereka mahu kekal menunjukkan mereka sanggup ketepikan perjuangan parti demi kuasa,” katanya.

Noh juga tidak menolak kemungkinan tindakan PAS Selangor itu akan menyebabkan berlaku tindakan lompat parti dalam kalangan anggota PAS, Anggota Dewan Undangan Negeri atau anggota Exco Kerajaan Negeri daripada parti Islam itu.

“Jika PAS keluar daripada kerajaan Selangor, Pakatan Harapan (DAP-PKR-Parti Amanah Negara) masih cukup untuk wujudkan komposisi pemerintahan baharu…PAS kini pembangkang di Selangor,” katanya.

Disebabkan itu katanya, rakyat Selangor harus membuka mata dan bijak membuat perbandingan sama ada mahu memilih pakatan parti politik dengan krisis dan perpecahan tidak berkesudahan atau solidariti dan kebersatuan yang ditunjukkan Barisan Nasional.

Sebelum ini Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta susulan parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama itu.

Keputusan itu memberi impak kepada kedudukan tiga Exco PAS dalam kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.



Sallehen Mukhyi berkata Noh Omar juga perlu belajar sejarah, PAS satu-satunya parti kerajaan negeri yang tidak pernah buat pakatan dan kekecohan untuk menjatuhkan Menteri Besar, disaat parti lain berpakat menjatuhkan Tan Sri Khalid, PAS tidak turut berpakat. Bukan kerana peribadi tetapi keharmonian dan kesejahteraan rakyat itu jauh lebih penting.

“Bila Menteri Besar baru YAB Dato Seri Azmin Ali dilantik, PAS terus teguh untuk meneruskan agenda menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyat. Inilah PAS yang YB Tan Sri Noh Omar perlu belajar daripadanya”, ujarnya lagi.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .