Friday, August 18, 2017

Mahathir Gagal Dapatkan Perintah Tangguh Prosiding RCI

Musang Maya (Nur Shila)     2:55:00 PM    

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mendapatkan perintah daripada Mahkamah Rayuan hari ini untuk menangguhkan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dijadual bermula pada Isnin.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak permohonan penangguhan itu. Dua lagi hakim ialah Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim.

"Kami berpendapat bahawa, atas kepentingan umum, prosiding RCI mesti diteruskan," katanya.

Dr Mahathir mahu prosiding RCI ditangguhkan sementara menunggu pendengaran rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Dalam permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman, beliau memohon untuk membatalkan keputusan RCI yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua anggota daripada bersidang dalam panel lima anggota RCI yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara pada 1990-an.

​ ​​​​​​Pada 8 Ogos, RCI menolak permohonan Dr Mahathir untuk menyingkirkan pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang daripada anggotanya, Tan Sri Saw Choo Boon, sebagai anggota suruhanjaya berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi, ketika membenarkan bantahan kerajaan terhadap pemohonan semakan kehakiman oleh Dr Mahathir, menegaskan bahawa RCI tidak mempunyai bidang kuasa untuk melantik atau menggugurkan anggotanya.

Mohd Sidek menetapkan 10 hari bermula 21 Ogos bagi prosiding siasatan itu. –Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .