Wednesday, February 7, 2018

Berapa kerusi PKR intai, mahu tadbir Selangor sendiri?

Musang Maya (Nur Shila)     3:21:00 PM    

KUALA LUMPUR, 7 Feb — Berapa kerusi tambahan yang PKR Selangor dapat dalam rundingan pengagihan kerusi yang bermula jam 10.30 pagi ini?

Apakah ia mendapat 21 kerusi yang ditandinginya pada 2013 atau dua parti sekutunya akan menyerahkan lagi kerusi kepadanya seperti dihasratkan?

PKR berminat bertanding di lima kerusi PAS, bekas sekutunya dalam Pakatan Rakyat walau Parti Amanah Negara (Amanah) juga teringin.

Amanah, serpihan PAS susulan krisis 2015, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sepakat mengisi kerusi-kerusi yang ditinggalkan PAS.

Di tengah-tengah ketegangan terbuka PKR-Amanah kira-kira dua minggu ini, muncul dakwaan PKR mensasarkan 30 kerusi agar ia boleh mentadbir sendiri.

Sumber-sumber Amanah mendakwa rancangan PKR mengambil lebih separuh daripada 56 kerusi negeri kerana Datuk Seri Azmin Ali tidak mahu dikekalkan lagi.

“Azmin tidak boleh survive [sebagai MB]. Beliau nak harap rakan Pakatan Harapan, mereka sudah tidak mahu beliau dah [sebagai MB],” kata sumber itu.

“Jadi PKR cuba melobi 30 kerusi supaya PKR sendirian boleh bentuk kerajaan [jika menang PRU14]. Supaya beliau terus kekal sebagai MB.”

Sumber itu mendakwa PKR mensasarkan beberapa kerusi yang menjadi sasaran Amanah, termasuk dua yang disandang pemimpin mereka.

Antaranya Paya Jaras, Taman Templer, Cempaka, Hulu Kelang dan Morib. Hulu Kelang diwakili Saari Sungib dan Morib dimenangi Hasnul Baharuddin.

PKR nafi bolot kuasa

Dua wakil rakyat ini meninggalkan PAS untuk menyokong keputusan Pakatan Rakyat menggugurkan menteri besar dulu Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sumber Amanah juga mempertikai hasrat PKR Selangor, menyifatkannya “kerja gila” mahu bertanding lebih separuh walau menang 14 daripada 21 kerusi.

“Di Johor yang kuat PPBM, bertanding 18 DUN sahaja. Ini [di Selangor] PKR [nak bertanding] sampai 30 kerusi,” katanya.

Seperti Selangor, Johor juga mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun ada sumber lain Amanah menyebut PKR berminat lima lagi kerusi.

Sumber turut menepis tanggapan badan kajian Ilham Centre yang mendakwa PKR tidak yakin Amanah dan PPB mampu menggantikan PAS di akar umbi.

“Kita sudah buat kerja sejak parti ditubuhkan. Amanah ditubuhkan untuk menggantikan PAS. Jadi kita bersedia bertanding semua kerusi PAS,” katanya.

Namun ketua Pemuda PKR negeri Afzainizam Rahman menepis dakwaan parti itu mahu menguasai Selangor sendirian.

“[Usul PKR] ini untuk mengekalkan kemenangan di Selangor. Kita akan berkongsi kuasa,” katanya kepada ProjekMMO semalam.

“Selangor kita sudah menang dua penggal, kita kena pertahankan.”

ProjekMMO difahamkan kerusi-kerusi yang dituntut PKR dijangka boleh dimenangi parti itu berdasarkan tinjauan sebuah badan penyelidikan.

Kerusi mana PKR minat?

Kerana Amanah dan PPBM masih baru, hujah sumber PKR, pengundi mudah memilih PKR sewaktu pertembungan tiga penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional.

Lagipun PKR yang mentadbir Selangor mempunyai rekod baik sejak 2008, kata sumber lagi, tanpa menyebut kesan krisis MB yang meresahkan orang ramai.

Namun Afzainizam enggan memberitahu beberapa kerusi Amanah yang diintai PKR dan menyerahkan kepada perbincangan barisan pemimpin pagi ini.

Beliau juga tidak mengesahkan nama-nama kerusi yang disebut sumber Amanah.

“Saya tidak mahu sebut, terpulang kepada keputusan [atasan]. Apapun hasrat untuk bertanding 30 kerusi, itu bergantung kepada rundingan,” katanya.

“Kami mempertahankan status qou 21 kerusi yang ditandingi pilihan raya 2013 dan kami mendukung apa jua keputusan yang dibuat.”

Ditanya sama ada PKR mampu menang semua 21 kerusi yang ditandingi, beliau optimis partinya boleh memenanginya kerana gerak kerja terus berjalan.

Satu lagi sumber Amanah negeri menegaskan ia hanya berminat pada kerusi PAS, bukannya merebut 21 kerusi PKR dan 15 kerusi DAP.

“Kita tidak tuntut kerusi PKR dan DAP. Tapi kita juga tidak mahu dianggap kena buli. Kita tuntut yang munasabah,” katanya kepada ProjekMMO.

Tinggal empat kerusi

PAS bertanding 20 kerusi pada 2013 dan berjaya menang 15 kerusi, termasuk dua yang berpaling menyertai Amanah.

Baki 20 kerusi itu, setakat ini, Amanah mendapat 10 kerusi dan PPBM diberikan 6 kerusi berdasarkan persetujuan bersama sebelum ini.

“Empat kerusi lagi masih lagi ada pertikaian, maka kami akan berunding lagi [hari ini] dan akan selesai masa terdekat,” kata sumber lagi.

Namun, sumber Amanah negeri itu tidak pasti kerusi yang menarik perhatian PKR sehingga dilihat bersungguh-sungguh menambah bilangan kerusi.

“PKR tidak sebut pula apa kerusinya, esok [Rabu] baru tahu kerusi yang mana satu. Tidak mengapa, kita pun ada hujah,” kata sumber.

Menjawab gesaan agar Amanah menunjukkan kekuatan jentara akar umbi, sumber itu berkata kekuatannya boleh dibuktikan dalam pilihan raya umum nanti.

“Kalau nak tahu kekuatan ketika pilihan raya, kenalah bertanding,” katanya, yang turut menepis dapatan kajian semasa mengenai sokongan pengundi.

“Kajian ini hanya menceritakan [situasi] pada masa itu [sewaktu kajian dibuat], ia tidak menceritakan masa depan.”

Keraguan PKR dan pemerhati pada Amanah, antaranya, prestasinya pada pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.

Kajian pendapat tahun lalu juga menunjukkan Amanah belum kukuh, malah PPBM yang lebih kemudian ditubuhkan dapat mengatasi sokongan akar umbi.

Sumber PKR Selangor juga mendakwa ada kajian-kajian terkini menunjukkan parti itu sudah mengatasi pengaruh PAS.


Read more at http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/berapa-kerusi-pkr-intai-mahu-tadbir-selangor-sendiri#t0O28KuZyTPPsPOc.99

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .