Tuesday, March 20, 2018

BN Mampu Rampas Selangor

Musang Maya (Nur Shila)     11:13:00 AM    

SUNGAI BULOH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis Barisan Nasional (BN) berpotensi besar merampas kembali Selangor, berpandukan pada persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun tiada pertambahan kerusi, BN melihat masih ada peluang dan harapan untuk merampas kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang tewas pada dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Walaupun persempadanan tidak membabitkan pertambahan (kerusi), kita lihat ada potensi bagi kita merampas DUN dan Parlimen yang kalah.

"Kita bukan sahaja berpotensi merampas kerusi DUN dan Parlimen yang kalah, tetapi kita akan tambah jumlah undi bagi kerusi yang kita kuasai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Kenduri Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri di Matang Pagar anjuran Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Ahmad Zahid turut menggariskan tiga perkara yang perlu dilakukan seluruh jentera parti dan pemimpin komponen jika mahu memastikan BN merampas kembali Selangor pada PRU-14 nanti.

"Saya minta tiga perkara, pertama lupakan segala titik bengik dan masalah dalam parti serta antara komponen. Kedua, perkukuhkan barisan kepemimpinan UMNO dan komponen dan ketiga, di garisan penamat kita pastikan berikan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut mendengar taklimat mengenai projek pembinaan semula Masjid Darul Ulum, Matang Pagar, di tapak yang sama, diikuti solat Isyak bersama jemaah dan jawatakuasa kariah masjid.

Bangunan baharu masjid yang dijangka siap awal tahun 2020 itu mampu memuatkan 400 jemaah pada satu masa dan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan asas moden.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .