Tuesday, March 20, 2018

Doa PAS Selangor, 10 NGO Buat Laporan Polis

Musang Maya (Nur Shila)     10:34:00 PM    

Sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung doa yang dibacakan seorang pemimpin PAS Selangor dalam satu program parti itu Sabtu lalu.

Wakil gabungan NGO itu, Ishak Harun berkata, doa yang dibacakan dalam program tersebut dilihat menyentuh beberapa perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan gambaran salah terhadap agama Islam, institusi Diraja dan agensi agama Islam di negeri itu.

“Program itu telah disiarkan secara langsung melalui Facebook PAS Selangor dan telah tular secara meluas di laman sosial yang lain.

“Kandungan doa ini memberi gambaran yang salah terhadap Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam serta agensi berkaitan termasuk Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor, yang mana dua jabatan itu telah dipertanggungjawabkan dalam hal berkaitan agama Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Antara NGO yang membuat laporan polis tersebut termasuk Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar, Kelab Prihatin Ummah Selangor, Persatuan Masyarakat Penyayang Selangor, Pertubuhan Kebajikan Ihsan Ummah Selangor dan Anak Prihatin Malaysia.

Ishak yang juga Pengerusi Kelab Prihatin Ummah Selangor berkata doa tersebut juga dilihat boleh mewujudkan tanggapan negatif masyarakat bukan Islam selain mendorong perselisihan faham antara orang Islam di negeri ini.

“Antara petikan doa itu menyebut bahawa PAS yang membawa ajaran Islam dan sekiranya mereka (PAS) rebah, siapa pula yang akan membawa agama Islam.

“Sebab itu kita mohon perkara ini disiasat supaya kita tidak mahu doa ini menghasut orang ramai selain tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap perkara ini,” katanya.

Sabtu lepas, PAS Selangor menganjurkan program solat hajat, munajat dan ceramah yang mana turut dihadiri kepimpinan tertinggi parti itu.

Susulan itu, media telah melaporkan kandungan doa selepas solat hajat tersebut yang seolah-olah ditujukan khusus terhadap gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) yang bakal berdepan dengan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .