Tuesday, March 20, 2018

Jika Calon Wibawa BN Mampu Capai Kemenangan Besar

Musang Maya (Nur Shila)     4:34:00 PM    

Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang sekiranya mengemukakan calon wibawa yang disenangi rakyat.

Penganalisis politik, Shukri Shuib berkata perpecahan dan konflik dalaman Pakatan Harapan (PH) memberi kelebihan kepada UMNO-BN untuk kekal dan bersedia dengan keupayaan yang lebih kukuh.

Shukri Shuib 
Namun menurutnya, faktor pemilihan dan peletakkan calon merupakan isu sebenar yang perlu diteliti oleh BN demi memastikan kemenangan besar dalam PRU14.

“Dengan rantaian akar umbi yang besar terutamanya sokongan kaum Melayu kepada parti UMNO, BN mempunyai peluang yang cerah untuk menang bergaya dalam PRU14.

Cuma antara syarat kemenangan BN ialah dengan memastikan calon yang dipilih untuk bertanding adalah calon yang sesuai dengan kehendak dan keperluan rakyat.

“”Tsunami Calon” akan berlaku dan peluang sama ada PAS atau Pakatan Harapan (PH) untuk menang di sesuatu kawasan sangat tinggi jika UMNO-BN gagal mendalami dan mendahului nurani rakyat melebihi kedudukan dalam parti untuk dijadikan calon,” katanya kepada wartawan Watan Online.

Sementara itu, Dekan Fakulti Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata senario pertandingan tiga penjuru yang akan berlaku di kebanyakan kawasan akan memberi kelebihan kepada BN.
 Prof Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed

Menurut beliau, perpecahan undi dalam kalangan kaum Melayu akan membantu kemenangan UMNO-BN yang mempunyai penyokong tegar dalam kalangan Melayu.

“Kaum Melayu akan berpecah undi daripada yang sedia ada kepada mungkin separuh daripada mereka akan tetap mengundi BN dan separuh lagi dikongsi oleh PAS dan mana-mana parti yang mewakili Pakatan Harapan.

“Jadi ini secara tidak langsung akan memberi sedikit kelebihan kepada BN,” katanya.

Walaubagaimanapun, beliau berkata perpecahan undi tersebut hanya memberi kelebihan kepada UMNO-BN di kawasan luar bandar dan separa bandar, berlainan dengan situasi di kawasan bandar di mana masyarakat Cina dilihat lebih cenderung menyokong PH.

“Jika kita lihat di kawasan luar bandar dan separa bandar di mana masyarakat Cina hanya membentuk 20 peratus daripada jumlah pengundi manakala kaum Melayu membentuk 75 peratus, maka perpecahan undi akan menguntungkan BN.

“Namun berbeza dengan kawasan bandar. Apabila berlaku perpecahan undi dalam kalangan Melayu dan peratus pengundi masyarakat Cina juga lebih tinggi, maka PH mempunyai kelebihan,” ujar beliau.- Watan

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .