Tuesday, March 20, 2018

Tak perlu padam gambar 'seksi' - Fasha

Musang Maya (Nur Shila)     2:41:00 PM    

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Fasha Sandha, enggan mempedulikan komen negatif netizen terhadap gambar beliau berpakaian Bollywood yang dikatakan terlalu seksi.

Gambar berkenaan yang dirakam ketika majlis berinai pelakon, Elvina Mohamad, dikongsi oleh Fasha di laman sosial Instagramnya, beberapa hari lalu.

Bukan sekadar mengundang komen melampau sesetengah pihak, malah ada juga yang menasihatkan Fasha supaya lebih sopan dalam berpakaian.

Bertemunya ketika hadir pada sesi tayangan episod akhir drama Syurga Yang Kedua anjuran kelab peminat We Love Fasha Sandha dan Elizad Team di sini, Fasha tidak mahu memperbesarkan hal itu.

"Mungkin cara gambar itu diambil yang membuatkan sesetengah orang menganggapnya seksi. Saya pun tak perasan.

"Saya sudah pun muat naik gambar terbabit dan saya tidak rasa perlu untuk memadamkannya.

"Siapa nak marah, marahlah... Saya tak tutup pun ruangan komen. Tak kisahlah orang nak cakap apapun. Ia tak mendatang kesan kepada saya," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, ditanya mengenai kegagalan filem lakonannya, Badang, ketika ditayangkan di pawagam, Fasha percaya ia berbalik kepada nasib dan rezeki.

Filem arahan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen yang turut dibintangi jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, bukan sekadar meraih pungutan rendah, malah teruk dikritik penonton.

"Bagi saya, semuanya bergantung kepada nasib. Mungkin ia tidak menyebelahi filem terbabit, kali ini. Saya pula sudah buat yang terbaik, begitu juga dengan Aliff dan pelakon lain.

"Berhubung alasan mengapa filem berkenaan tidak laku, saya rasa ia patut ditanya kepada pengarahnya sendiri," katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .