Thursday, April 19, 2018

10 perkara, 100 inisiatif dalam Manifesto BN Selangor

Musang Maya (Nur Shila)     6:13:00 PM    

SHAH ALAM: Manifesto Barisan Nasional (BN) Selangor yang mengangkat suara anak muda adalah satu perjuangan dalam menyelamatkan masa depan rakyat di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, ia berikutan manifesto itu berjaya mengilhamkan aspirasi segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan muda.

Beliau berkata, 10 perkara dengan 100 inisiatif yang dijanjikan akan memberikan sinar buat rakyat Selangor tanpa rasa prejudis berbanding manifesto pakatan pembangkang yang hanya sedap didengar.

"Manifesto BN Selangor yang bertemakan 'Better Selangor' begitu mengkhususkan keutamaan rakyat seperti pemilikan rumah dalam kalangan belia dan anak muda.

"Perhatian khusus ini dijanjikan dengan pembinaan lebih 140,000 unit rumah mampu milik ekoran kegagalan kerajaan negeri bawah pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyediakan rumah rumah mampu milik dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang secukupnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga bekas Presiden Majlis Belia Selangor (MBS) berkata, kemampuan anak muda Selangor untuk memiliki aset rumah akan terus terkubur jika pakatan pembangkang kekal memerintah di Selangor.

"Jadi rakyat Selangor perlu memberi peluang dan menyakini BN dalam memberi mandat bagi melaksanakan perubahan di Selangor ke arah yang lebih positif dan dasar yang pro rakyat," katanya.

Sementara itu, Irmohizam berkata manifesto BN Selangor juga sememangnya bukan sekadar janji.

"Dalam manifesto ini BN juga akan berjuang dan menjanjikan agar mengembalikan Stadium Shah Alam kepada pasukan The Red Giants. Ia berikutan ketika ini, Mohamed Azmin seakan-akan menafikan hak pasukan The Red Giants untuk menggunakan stadium itu sebagai gelanggang sendiri," katanya

Justeru, Irmohizam berkata, manifesto BN Selangor yang berinspirasikan manifestasi belia dan mengangkat suara anak muda ini adalah satu perjuangan rakyat bagi menyelamatkan masa depan Selangor.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .