Thursday, April 19, 2018

4 kejutan dalam Manifesto BN Kedah

Musang Maya (Nur Shila)     6:11:00 PM    

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah akan menawarkan empat kejutan menggembirakan untuk rakyat negeri ini dalam tawaran manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang diasaskan kepada tujuh kluster utama.

Isi kandungan penuh manifesto BN Kedah itu akan diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti di sini, malam esok.

Setiausaha BN Kedah, Datuk Md Rozai Safian, memberi bayangan empat elemen kejutan menggembirakan akan membabitkan belia, syiar Islam, masyarakat bukan Islam dan Pulau Langkawi.

"Manifesto itu yang bertemakan 'Menerus Kemajuan, Merealisasi Impian' dibina berdasarkan tujuh kluster utama yang akan menyentuh setiap lapisan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

"Manifesto ini adalah asas kepada perancangan BN Kedah untuk meneruskan agenda pembangunan yang akan membawa manfaat buat setiap lapisan rakyat Kedah bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Selain daripada tujuh teras itu, Menteri Besar juga akan mengumumkan empat elemen kejutan menggembirakan buat rakyat Kedah," katanya dalam taklimat khas di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Md Rozai, yang juga Setiausaha UMNO Kedah berkata, manifesto itu adalah berdasarkan tiga kategori projek, iaitu yang telah disiapkan, yang sedang dilaksanakan dan yang dalam perancangan.

"Kita memastikan manifesto ini akan merangkumi semua aspek dalam masyarakat termasuk projek berimpak tinggi, kebajikan rakyat, infrastruktur, pendidikan, agama dan pembangunan modal insan," katanya.

Difahamkan, BN juga akan memberi tumpuan kepada Langkawi berikutan keputusan gabungan pembangkang untuk mencalonkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di pulau peranginan itu.

BN Kedah dijangka menghadapi saingan sengit untuk meyakinkan 1.2 juta pengundi di Kedah berikutan akan bertarung dalam pertembungan tiga penjuru menentang gabungan pembangkang merangkumi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM) yang diarahkan untuk bubar sementara oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

BN menyandang 20 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, yang dibubarkan awal bulan lalu bagi memberi laluan kepada PRU-14.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .