Asas ekonomi kukuh jayakan pertumbuhan bandar negara - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Wednesday, April 18, 2018

Asas ekonomi kukuh jayakan pertumbuhan bandar negara

Datuk Seri Najib Razak berkata, kejayaan Malaysia dalam mengurus pertumbuhan bandar utamanya yang membangun pesat, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan kejayaan program transformasi dilaksanakan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, apa yang dikecapi Malaysia hari ini mencerminkan trend pembangunan sama seperti berlaku pada negara Asia dan Afrika berdasarkan laporan Agenda Perbandaran Baharu di Quito pada 2016.

Katanya, pengalaman di Malaysia mencerminkan trend pertumbuhan bandar negara ini di bawah paras 30 peratus pada 1970-an, kini berada pada kadar 75 peratus dan dijangka meningkat kepada 85 peratus pada 2050.

“Seperti kebanyakan negara lain, kami menghadapi pelbagai cabaran dan berjaya menguruskan transformasi bandar yang berkembang rancak.

“Kami dibantu dengan asas ekonomi yang kukuh, Program Transformasi Ekonomi yang kerajaan saya laksanakan pada 2010 dan mewujudkan 2.26 juta peluang pekerjaan, yang mana satu juta daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Inflasi dan pengangguran pada paras rendah. Kami menurunkan defisit daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada tiga peratus pada tahun lalu.

Guna pendekatan kukuh

“Syukur dengan pendekatan (diambil kerajaan) yang kukuh dan proaktif, kami pulih dengan cepat daripada krisis global antara 2008 hingga 2009 dan kami menikmati tempoh pertumbuhan yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) anjuran Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN-HABITAT) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Pengarah Eksekutif di Un-habitat, Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Forum dengan tema ‘Bandar 2030, Bandar Untuk Semua: Melaksanakan Agenda Bandar Baharu’ itu disertai 89 Menteri dan Timbalan Menteri dari 61 negara serta 24,700 delegasi dari 192 negara.

Forum dwitahunan ini juga adalah platform untuk membincangkan dan membentangkan komitmen, strategi dan inovasi, mengenal pasti peranan institusi serta meneruskan perkongsian dalam pelaksanaan Pembangunan Mampan dan Pelan Tindakan Agenda Bandar Baharu (NUA).

Najib berkata, kerajaan juga sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat yang tinggal di bandar seperti mewujudkan program membina ribuan rumah mampu milik untuk mereka yang berpendapatan rendah.

Malah katanya, kerajaan hanya mengenakan caj rawatan serendah RM1 di Klinik 1Malaysia, mengecualikan cukai barang makanan tertentu, menyediakan kursus latihan dan pelbagai inisiatif termasuk insentif perniagaan khasnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Walaupun Kuala Lumpur terkenal di seluruh dunia dan menjadi bandar ke-10 sering dilawati di dunia, keenam terbaik pilihan tempat bersara, manakala Georgetown di tempat ke-10, kami sentiasa memastikan kehidupan rakyat Malaysia di bandar menikmati kualiti hidup yang baik serta lestari untuk generasi akan datang.

“Itulah sebabnya kami melabur dalam bidang pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang dan Sistem Transit Rapid (RTS) yang saya dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong setuju dibina menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

“Ia adalah bidang yang diabaikan pada masa lalu kerana terlalu mengutamakan industri pembuatan kereta. Bandar kita perlu sesuai didiami dan juga lestari,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mahu seluruh rakyat berkongsi dalam ekonomi digital dan meningkatkan lagi kadar penembusan internet dengan menyasarkan liputan jalur lebar mencapai 95 peratus pada 2020 dan 100 peratus pada 2050.

Syukur dengan pendekatan (diambil kerajaan) yang kukuh dan proaktif, kami pulih dengan cepat daripada krisis global antara 2008 hingga 2009 dan kami menikmati tempoh pertumbuhan yang kukuh” Najib Razak, Perdana Menteri
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Asas ekonomi kukuh jayakan pertumbuhan bandar negara Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)