Monday, April 16, 2018

Di Wangsa Maju, mandat perlu diberikan kepada calon UMNO – Shafei

Musang Maya (Nur Shila)     5:11:00 PM    

KUALA LUMPUR, April 16 : Ketika isu kerusi Parlimen Wangsa Maju menjadi topik perbualan hangat, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata peningkatan pengundi Melayu di kerusi Parlimen Wangsa Maju daripada 54 peratus kepada 61 peratus menjadikan kawasan itu sesuai ditandingi calon daripada UMNO.

Berita Harian Online dipetik berkata Dr Mohd Shafei yang juga Pengerusi BN Parlimen Wangsa Maju , berkata berdasarkan perangkaan itu, UMNO paling layak kekal bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meskipun pernah tewas pada PRU lalu.

Beliau berkata, sekiranya MCA berhasrat untuk ambil alih peranan UMNO dengan meletakkan calonnya di Parlimen Wangsa Maju kemungkinan boleh menyebabkan berlaku peralihan undi Melayu kepada pembangkang terutama PAS.

“Saya tidak bersetuju jika kepimpinan UMNO mahu menukar kerusi Wangsa Maju milik UMNO kepada MCA. Kita lihat jumlah pengundi Melayu di kawasan itu meningkat. Jadi, sebarang keputusan mesti ambil kira populasi sebelum putuskan siapa calon.

“Sekiranya kita beri kerusi ini kepada MCA, tiba-tiba PAS pula putuskan untuk bertanding di kawasan sama, …kita bimbang pengundi Melayu akan beralih undi mereka.

“Kerusi Wangsa Maju sepatutnya diberikan mandat kepada calon UMNO pada PRU nanti. Itu pendapat saya. Bagaimanapun, saya serahkan kepada kepimpinan parti untuk tentukan siapa daripada UMNO untuk bertanding di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang membayangkan MCA akan bertanding di kerusi Wangsa Maju berdasarkan tinjauan yang mendapati parti itu dilihat boleh menang mudah di kawasan berkenaan.

Shafie turut disokong badan kebajikan masyarakat India iaitu Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia (PNRM) berikrar akan memberi sokongan penuh dan kuat kepada beliau selaku calon pilihan rakyat yang diperlukan Barisan Nasional (BN) di Wangsa Maju.

Minggu lepas PNRM menyerahkan memorandum meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi BN mencalonkan semula Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, di kerusi berkenaan.

Memorandum itu diserahkan Penasihat Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia, Datuk Anbumani Balan bersama lebih daripada 100 ahlinya termasuk wakil kaum Cina kepada wakil Pejabat Perdana Menteri.

Anbumani ketika ditemui di perkarangan luar Bangunan Perdana Putra, berkata mereka mahu Mohd Shafei dicalonkan semula dengan mengambil kira segala usaha dan khidmat bakti dicurahkannya kepada masyarakat di Wangsa Maju.

“Kami yakin hanya dengan kepemimpinan beliau (Mohd Shafei) yang mampu menjamin masa depan dan menggalas harapan masyarakat di Wangsa Maju.

“Kami sudah bersama-sama dengannya bekerja untuk rakyat di Wangsa Maju selama lima tahun ini disebabkan kami tidak mahu yang lain, hanya dia yang layak bertanding di Parlimen Wangsa Maju dan dengan cara ini saja kita boleh rampas kembali Wangsa Maju,” katanya.

Dianggarkan Wangsa Maju memiliki 67,775 orang pengundi yang mana 61 peratus adalah Melayu, Cina (21 peratus) dan India (18 peratus).

Pada PRU-13, Mohd Shafei mendapat 26,130 undi dan tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang memperoleh 31,641 undi.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .