Monday, April 16, 2018

DSA, Natsec Bukti Keyakinan Pihak Luar Terhadap Malaysia

Musang Maya (Nur Shila)     4:55:00 PM    

KUALA LUMPUR, 16 Apr: Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 yang dibuka secara rasmi hari ini membuktikan pihak luar mempunyai keyakinan tinggi terhadap kestabilan Malaysia di rantau Asia Tenggara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata biarpun Malaysia dituduh bermacam-macam, penganjuran program sebegini menunjukkan negara berada dalam satu posisi yang cukup baik dan menarik minat banyak penganjur luar, selain bertujuan menjual aset.

“Saya rasa begitu gembira kerana apa yang saya lihat hari ini, komitmen daripada Mindef (Kementerian Pertahanan), industri pertahanan amat membanggakan kerana banyak tetamu luar dan mereka menunjukkan minat untuk bersama kita dalam DSA kali ini.

“Ia menunjukkan mereka punyai keyakinan terhadap kestabilan Malaysia dan diterjemahkan dalam konteks kestabilan di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di sekitar ruang pameran di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Pameran itu menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 anggota delegasi luar negara dari 45 negara.

Pameran yang dijangka menarik 40,000 pelawat itu menjadi platform kepada pengurusan tertinggi pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea selain memberi peluang kepada penggiat industri untuk memasarkan produk masing-masing.

Majlis pembukaan DSA edisi ke-16 itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin semalam.

DSA merupakan acara dwitahunan yang diadakan sejak tahun 1988.– Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .