Harga rumah di KL,PJ paling tinggi - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Wednesday, April 18, 2018

Harga rumah di KL,PJ paling tinggi

Harga rumah teres dua tingkat dan banglo semi-d di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor secara purata adalah yang tertinggi di negara ini pada tahun lalu, iaitu masingmasing pada harga RM1.188 juta dan RM3.052 juta, demikian mengikut laporan Unjuran Pasaran Hartanah Asia Pasifik 2018: Malaysia baru-baru ini.

Laporan tahunan yang dikeluarkan oleh firma hartanah CBRE / WTW itu mengukur nilai rumah teres dua tingkat berkeluasan antara 1,400 - 1,650 kaki persegi (kp) dan banglo semi-d (3,200 - 3,600 kp) yang mana kedua-duanya dibina kurang daripada lima tahun dan terletak kira-kira 10 kilometer atau kurang dari pusat bandar.

Menurut laporan itu, harga rumah teres di kedua-dua kawasan berkenaan mengalami sedikit penurunan sebanyak 0.25 peratus atau RM3,000 pada tahun lalu dibandingkan pada 2016, iaitu RM1.191 juta, namun harga bagi banglo semi-d pada 2016 meningkat sebanyak RM42,000 atau 1.39 peratus, pada harga RM3.01 juta berbanding tahun lalu.

Tidak berubah

Pulau Pinang menduduki tempat kedua apabila harga rumah teres di bahagian pulau pada tahun lalu adalah bernilai RM1.05 juta, manakala semi-d pada harga RM1.82 juta. Nilai kedua-dua hartanah itu tidak berubah dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Kawasan Subang Jaya dan Shah Alam, Selangor di tempat ketiga dengan harga rumah teres ialah RM739,000 (RM748,000; 2016), manakala semi-d ialah RM1.585 juta (RM1.506 juta; 2016).

Dari segi kenaikan tahunan, rumah teres di Johor Bahru mencatat kenaikan tahunan tertinggi, iaitu sebanyak RM70,000 atau 11.67 peratus daripada RM600,000 pada 2016 kepada RM670,000 pada tahun lalu, diikuti Kuantan (RM49,000) dan Melaka sebanyak RM47,000.

Bagi semi-d pula, kawasan di Sandakan, Sabah menyaksikan kenaikan sehingga RM115,000 atau 20.6 peratus dari RM556,000 pada 2016 kepada RM671,000 pada tahun lalu diikuti Subang Jaya dan Shah Alam (RM79,000) dan Batu Pahat, Johor (RM70,000).

Rumah teres di Pulau Pinang diukur pada keluasan 1,200kps-1,600kps manakala semi-d (3,000-4,500kps)

Rumah teres di Johor Bahru diukur pada keluasan 1,600kps-1,900kps manakala semi-d (3,500-4,500kps)
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Harga rumah di KL,PJ paling tinggi Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)