Jaafar Keluar PAN Bukan Sebab Tak Dapat Jadi Calon - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Thursday, April 19, 2018

Jaafar Keluar PAN Bukan Sebab Tak Dapat Jadi Calon

SHAH ALAM, 19 Apr: Bekas pengarah pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor Jaafar Samsuddin berkata tidak tersenarai sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bukanlah faktor yang mendorong beliau keluar daripada parti itu.

Jaafar berkata sebab utama beliau berbuat demikian ialah kerana kecewa dengan sikap kepimpinan parti yang tidak menghiraukan suara anggota parti serta beberapa alasan peribadi.

“Kalau suara sebagai anggota mahupun yang berjawatan penting dalam parti langsung tidak dihiraukan kepimpinan, apa gunanya lagi berada dalam parti,” kata Jaafar.

Beliau semalam dilaporkan menghantar surat peletakan jawatannya itu kepada Amanah negeri dan nasional sebelum memutuskan untuk turut keluar daripada parti berkenaan.

Jaafar yang keluar daripada PAS dan menyertai Amanah pada 2016, turut menegaskan bahawa kurangnya sikap saling menghormati, tidak mendengar pendapat sesama sendiri termasuk daripada akar umbi dan kecelaruan arah tuju perjuangan Amanah, antara faktor penarikan dirinya daripada terus menerajui jentera serta menganggotai parti berkenaan.

“Saya diberi jawatan penting untuk menghadapi pilihan raya, tetapi suara dan pendapat saya tidak didengari dan dihormati kepimpinan serta anggota parti, saya rasa tidak berguna lagilah saya memegang jawatan itu. Malah suara saya sebagai anggota parti juga tidak dihiraukan.

“Saya memegang amanah (jawatan) yang diberikan dan melaksanakannya menggunakan segala pengalaman yang saya ada, tetapi ada pula yang datang mendabik dada mempertikai kredibiliti saya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam politik, beliau juga amat kesal dengan Amanah kerana pada saat-saat akhir menjelang PRU14, keadaan dalaman parti masih kucar-kacir apabila ramai dalam kalangan anggota sedang cuba ‘menunjuk pandai’.

Katanya, gelaran ‘kolot’ dan ketinggalan zaman yang dilemparkan kepada beliau selaku pengarah pilihan raya dilihat menjejaskan imejnya sedangkan gerak kerja yang diatur bagi menghadapi perang PRU14 bukan sekadar menjadi tukang sorak.

“Dalam pilihan raya, kita kena cepat, cekap, sebab itu saya guna pengalaman saya bagi penerangan serta bukti-buktinya. Kita bukan nak buat politik lebih kurang, namun ramai yang nak tunjuk pandai…ini harus segera diperbetulkan,” katanya.

Mengakui tidak berdendam dengan Amanah walaupun melepaskan jawatan penting dalam dalam parti itu, Jaafar berkata beliau tidak merancang untuk menyertai parti politik lain sungguhpun ada pihak datang berjumpa dengannya.

Katanya, setakat ini, beliau memilih untuk berehat daripada dunia politik dan menghabiskan masa bersama keluarga namun jika ada pihak memerlukan pendapat, beliau sedia memberi sumbangan.– Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Jaafar Keluar PAN Bukan Sebab Tak Dapat Jadi Calon Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)