Kilang Reka 'Dakyah' Burukkan Kerajaan Dikesan SKMM - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Wednesday, April 18, 2018

Kilang Reka 'Dakyah' Burukkan Kerajaan Dikesan SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan wujud gerakan tertentu bersembunyi di sebalik media sosial atau internet, yang aktif menyebarkan dakyah memburukkan kerajaan melalui medium maya itu.

Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr Mazlan Ismail, berkata gerakan terbabit berperanan seperti ‘kilang’ untuk mewujudkan berita palsu dengan motif utama mempertikai integriti dan kecekapan kerajaan, selain turut menyasarkan Melayu dan Islam.

“SKMM mengesan lebih 1,500 berita palsu disebar melalui media sosial yang dijawab pihak kami menerusi portal sebenarnya.my, yang mana bahannya mengandungi unsur mempertikai kredibiliti agensi kerajaan, Melayu dan Islam.

Tangkis berita tak benar

“Dapatan ini diperoleh sejak portal itu diwujudkan bagi menangkis pelbagai bentuk fitnah dan berita palsu di media sosial sejak setahun lalu.

“Kita berasakan memang ada satu ‘kilang’ tertentu dibuat untuk mewujudkan berita palsu ini... (mula-mula) dia (kilang) pergi kepada mempertikai kerajaan dan akhir sekali (agenda berita palsu itu mengajak supaya) tukar kerajaan. Ini dia punya teori di belakangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Program Bicara BH bertajuk Internet dan Pilihan Raya di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad, di sini, semalam.

Selain Mazlan, dua lagi ahli panel jemputan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah.

Mengulas berita palsu, Mazlan berkata ia tidak terjadi dengan sendiri, sebaliknya dimulai individu tertentu dan paling dikhuatiri, oleh pihak hagemoni di luar sana yang mengambil peluang menggunakan platform sama untuk menghancurkan negara.

Katanya, berita palsu kini menjadi isu yang melingkari dunia dan turut membelenggu negara besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), malah kesan negatifnya di UK ketika proses referendum Brexit dan pemilihan Presiden AS harus diambil iktibar.

“Waktu kerajaan UK buat referendum Brexit, mereka tidak bersedia dengan Brexit dan selepas ia berlaku, mereka tidak dapat kawal. Mereka sudah terhantuk dengan isu Brexit, tetapi sekarang tidak boleh buat apa... ini semua sebab berita palsu. Sama juga macam di AS,” katanya.

Dalam satu kajian di UK juga, Mazlan menjelaskan ketika ini berlaku peningkatan sehingga 60 peratus kepercayaan rakyat negara itu terhadap media tradisional, berbanding 48 peratus pada tahun lalu iaitu semasa isu Brexit menjadi topik utama.

Berdepan pelbagai berita palsu

Katanya, ini menunjukkan ketika proses referendum Brexit diadakan, rakyat UK terdedah dengan pelbagai berita palsu di internet, memaksa mereka memilih untuk mempercayai satu tindakan dan keputusan yang sebenarnya menjejaskan negara mereka.

“Di AS, kajian dibuat terhadap teras media tradisional pada 2016 mendapati penguasaan sebanyak 32 peratus, tetapi apabila Donald Trump menang dan menyebabkan macam-macam berlaku, rakyat menyesal kerana percaya pada media sosial dan tak percaya pada media teras.

“Jadi pada September tahun lalu, peratusan itu mula naik kepada 52 peratus,” katanya sambil memaklumkan kepercayaan masyarakat dunia terhadap berita di media sosial dan internet kini semakin menunjukkan penurunan.

Mengenai pelaksanaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Mazlan berkata akta itu sudah digunakan, namun seiring penguatkuasaannya beberapa agensi kini sedang memperkemas prosedur terutama dalam aspek siasatan dan penahanan.

“Kita sudah ada satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan membincang dari segi prosedur operasi standard (SOP). Apabila ada kes dibawa, mahkamah akan buat keputusan sama ada berita itu palsu atau tidak.

“Akta itu satu hal, tetapi pelaksanaannya memerlukan kerjasama semua agensi terutama dalam pembuktian, penangkapan dan tindakan sebab akta ini hukumannya berat... maksudnya pelaksanaannya kena kemas kerana kesannya besar,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Kilang Reka 'Dakyah' Burukkan Kerajaan Dikesan SKMM Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)