Koperal polis bebas tuduhan hantar komunikasi palsu mengenai PM, TPM - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Thursday, April 19, 2018

Koperal polis bebas tuduhan hantar komunikasi palsu mengenai PM, TPM

KUALA LUMPUR, 19 Apr: Seorang koperal polis dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi palsu mengenai perdana menteri dan timbalan perdana menteri di laman Facebook miliknya, dua tahun lepas.

Hakim Zaman Mohd Noor membebaskan Kpl Nik Azmi Nik Mustapha, 40, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya beliau berkata, terdapat lompangan pada kes ini apabila pihak pendakwaan tidak memanggil saksi daripada Kelab Suara UMNO bagi membuktikan status yang dimuat naik itu adalah benar.

“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan beberapa elemen termasuk elemen menyakitkan hati seperti dalam pertuduhan. Laporan forensik juga tidak menjumpai sebarang maklumat bagi mengaitkan kes.

“Setelah mendengar keterangan-keterangan saksi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap OKS. Oleh itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan OKS tanpa memanggil untuk membela diri,” katanya.

Nik Azmi yang digantung kerja sejak kes itu, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Nik Azmi Nik Mustapha’, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 12 tengah malam, 12 Dis 2016.

Pautan itu kemudian telah dibaca melalui laman Twitter “Kelab Suara UMNO @SuaraUMNO” di Pejabat Siasatan Jenayah D5, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah, di sini pada pukul 4.30 petang, 14 Dis tahun sama.

Nik Azmi didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pembabitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa manakala tertuduh diwakili peguam Zulhazmi Shariff.

Empat saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 21 Mac 2018.– Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Koperal polis bebas tuduhan hantar komunikasi palsu mengenai PM, TPM Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)