Langgar kereta Kevin Morais kerana brek mengejut – Tertuduh - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Thursday, April 19, 2018

Langgar kereta Kevin Morais kerana brek mengejut – Tertuduh

KUALA LUMPUR, 19 Apr: Tertuduh keenam yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kemalangan yang berlaku antara kenderaan pacuan empat roda dipandunya dengan kereta Kevin Morais pada 4 Sept 2015, berpunca kerana mangsa memberhentikan keretanya secara mengejut.

S.Nimalan, 25, yang merupakan tertuduh keenam berkata ketika itu dia sedang bercakap di telefon dengan bekas tertuduh kedua, G. Gunasekaran atau Jay yang memandu Proton Perdana V6 bersama tertuduh ketujuh, S. Ravi Chandaran, selepas kenderaan mereka terpisah di satu persimpangan lampu isyarat.

“Saya telefon Ravi, Jay jawab telefon. Saya tanya di mana mereka kerana tak nampak di belakang kereta saya, pada masa itu di hadapan saya sebuah kereta telah membrek dan saya telah melanggar belakang kereta itu,” katanya ketika pemeriksaan utama peguam V. Rajehgopal pada prosiding bela diri hari kesembilan kes itu di sini.

Katanya selepas pelanggaran itu, dia dan Kevin Morais yang memandu Proton Perdana V6 telah mengalihkan kenderaan masing-masing ke tepi jalan sebelum keluar dari kenderaan dan pergi ke belakang kereta Kevin Morais.

“Semasa kami berdua (Nimalan dan Kevin Morais) ke belakang kereta yang dilanggar itu, Jay sampai. Jay berjabat tangan dengan pemandu kereta itu (Kevin Morais). Saya ingat mungkin mereka kenal antara satu sama lain,” katanya.

Nimalan berkata Jay kemudian telah bertanya apa yang telah berlaku dan dia kemudian menceritakan bahawa kenderaannya telah melanggar kereta Kevin Morais dan Jay kemudian memberitahu bahawa dia mengenali pemandu kereta itu dan berkata dia akan berbincang dengan mangsa serta menyuruh Nimalan masuk ke kenderaannya.

Tidak lama kemudian katanya, bapa saudaranya iaitu Ravi Chandaran juga datang ke arah mereka dan juga menyuruh Nimalan masuk ke kenderaannya sambil berkata “biar saya lihat”.

Terdahulu, tertuduh berkata kejadian kemalangan itu berlaku di Jalan Dutamas, di sini, selepas dia sekali lagi dibawa ke kawasan Kondominium Menara Duta, kediaman yang dihuni Kevin Morais.

Nimalan berkata sebagaimana hari sebelumnya, dia yang memandu Mitsubishi Triton dinaiki tiga tertuduh iaitu R.Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar dan M.Vishwanath mengekori kereta dipandu Jay bersama bapa saudaranya itu.

“Jay telah ke kondominium yang sama, saya dan Jay turun dari kereta, saya bertanya kenapa datang ke tempat sama, kamu nak jumpa sesiapa ke? Jay jawab tidak dan suruh saya masuk kereta dan kata bila saya bunyikan hon, baru you keluar (beredar dari situ),” katanya.

Tertuduh berkata selepas beberapa ketika, dia mendengar bunyi hon dan terus beredar keluar dari kawasan kondominium itu diekori kereta Jay sebelum kenderaan mereka terpisah di persimpangan lampu isyarat kira-kira 500 meter dari kondominium Kevin Morais.

Pada prosiding itu, Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan dan Ravi Chandaran, 47, diwakili peguam V.Rajehgopal manakala doktor tentera Kolonel Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath; Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 17 Mei.— Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Langgar kereta Kevin Morais kerana brek mengejut – Tertuduh Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)