Monday, April 16, 2018

Mahathir Akan Menghancurkan Sumpahan UMNO

Musang Maya (Nur Shila)     4:58:00 PM    

KUALA LUMPUR, 16 Apr: Bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata pengumuman rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi calon Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memberikan impak yang besar ke seluruh negara.

“Langkawi dilihat sebagai fix deposit kepada Mahathir dan jika beliau boleh menamatkan sumpahan Mahsuri dengan memberikan pembangunan dan kemakuran kepada penduduk Langkawi inikan pula hanya untuk menghancurkan sumpahan UMNO yang sudah tidak lagi dirastui oleh rakyat.

“Beliau akan menutup sejarah UMNO di Pulau Legenda yang indah ini,” kata Zainuddin, yang lebih dikenali dengan panggilan Zam.

Menurut Zainuddin, berita terkini diterima oleh beliau adalah sebahagian besar orang UMNO di Langkawi sendiri menyokong kehadiran Dr Mahathir sebagai calon Langkawi.

Semalam, Dr Mahathir diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang itu untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada PRU14.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini malam tadi.

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri mengumumkan calon daripada partinya, yang akan bertanding di enam kerusi parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Semua calon PH akan bertanding di bawah simbol tunggal PKR.

Selain PKR, tiga lagi parti komponen PH ialah PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Antara calon PPBM yang lain adalah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan bertanding di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.

Calon lain yang akan bertanding kerusi Parlimen adalah Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Wan Saiful Wan Jan (Pendang), Mohd Taufik Yaacob (Baling) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Jerai).

Calon DUN pula adalah Datuk A. Aziz Mohamud (Ayer Hitam), Halimahton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Aizad Roslan (Bukit Lada), Syed Fadzil Syed Embun (Kuala Nerang) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Mohd Nazari Abu Hassan (Jeneri), Abdul Rahim Kechik (Bayu), Mohd Saffuan Sabari (Guar Chempedak), Mejar (B) Annuar Abd Hamid (Tanjung Dawai), Datuk Azimi Daim (Bandar Baru), Johari Bulat (Air Hangat) dan Mohd Firdaus Ahmad (Kuah).

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .