Wednesday, April 18, 2018

Pakatan hantar mesej yang salah kepada rakyat – Salleh

Musang Maya (Nur Shila)     5:09:00 PM    

KUALA LUMPUR, 18 Apr: Pembangkang menganggap pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah pertandingan populariti untuk melihat calon sebelah mana yang lebih popular, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata nampaknya, tujuan utama pakatan pembangkang pada PRU14 ialah meletakkan calon sama ada di kawasan yang mereka rasa mereka pasti menang atau untuk mengalahkan calon tertentu daripada Barisan Nasional.

“Pakatan pembangkang menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia. Mencabar seseorang supaya bertanding di kawasan tertentu bagi membuktikan dia adalah ‘anak jantan’ bukanlah tujuan pilihan raya yang diadakan secara demokratik.

“Ini bukan pertandingan tinju untuk membuktikan siapa lagi gagah dan berani. Apa sudah jadi dengan konsep berkhidmat untuk rakyat?” kata Salleh melalui catatan dalam blognya hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tujuan pilihan raya umum diadakan adalah untuk memilih kerajaan yang lebih baik atau yang paling baik untuk negara ini.

“Pilihan raya umum bukan peraduan antara ego dan untuk melihat siapa yang menjadi pemenang dalam pertandingan personaliti. Ia mengenai siapa yang dapat mentadbir negara ini dengan lebih baik dan untuk masa depan Malaysia,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .