PAN Tanding 10 DUN Selangor, PPBM 9 - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Wednesday, April 18, 2018

PAN Tanding 10 DUN Selangor, PPBM 9

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, bakal bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad, berkata rundingan itu selesai dalam satu pertemuan bersama pemimpin gabungan pakatan pembangkang termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, dalam perbincangan itu, semua pihak sudah mencapai kata sepakat dan tiada pertindihan bagi kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRU-14 membabitkan semua parti dalam gabungan pembangkang.

"Setakat ini Amanah (PAN) memperoleh 10 kerusi bagi DUN, antaranya Hulu Kelang, Morib dan Cempaka.

"Memang ada banyak tolak ansur dalam rundingan itu. Namun, bagi saya, yang penting rundingan kerusi DUN sudah selesai dan tiada pertindihan," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Membina Negara Memenuhi Harapan di Tapak Pasar Malam, Seksyen 7, di sini, malam tadi.

Khalid berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperoleh sembilan kerusi DUN di negeri ini.

Beliau juga enggan mengulas sama ada kerusi DUN Paya Jaras yang menjadi rebutan antara PAN dan PKR termasuk dalam 10 kerusi DUN itu.

"Pengumuman penuh mengenai pembahagian kerusi dan calon DUN serta Parlimen di Selangor hanya diumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 24 April nanti," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam yang dimenanginya selama dua penggal, Khalid hanya menyatakan kerusi itu masih milik PAN.

"Di Shah Alam memang Amanah. Antara saya yang jadi calon atau sebaliknya kita tunggu sehari dua lagi sehingga ia diumumkan," katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: PAN Tanding 10 DUN Selangor, PPBM 9 Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)