Wednesday, April 18, 2018

Pertembungan ‘Bos’ Dan Bekas Anak Buah Di Parlimen Jeli?

Musang Maya (Nur Shila)     2:16:00 PM    

Pakatan Harapan dijangka mempertaruhkan bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Kelantan, Azran Deraman sebagai calon Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jika benar jangkaan itu, Parlimen Jeli sekali gus bakal menyaksikan pertembungan antara ‘bos’ (Datuk Seri Mustapa Mohamed) dan bekas anak buahnya.

Mustapa adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH akan memutuskan perkara itu nanti.

“Besar kemungkinan… (Azran calon Parlimen Jeli). Saya tak ada hak untuk putuskan, cuma kemungkinan,” katanya selepas menghadiri satu majlis di Kampung Kalai, Jeli.

Tahun lalu, Azran dilaporkan terlibat dengan kes tuntutan palsu membabitkan nilai RM600,000 dan direman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya sebelum dibawa pulang ke Kelantan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Difahamkan kes itu terbongkar selepas Jabatan Audit menjalankan audit terhadap pejabat kementerian tersebut di Kelantan.

Siasatan awal SPRM telah mengesan wang tunai berjumlah RM190,000 dalam akaun bank miliknya.

Sumber SPRM ber­kata, kebanyakan hasil audit tidak boleh dijawab pihak terbabit sehingga mendorong kepada pembongkaran aktiviti tersebut.

Mustapa, yang sememangnya sudah sinonim dengan rakyat Jeli mempertahankan Parlimen berkenaan pada PRU13 menewaskan calon PAS Mohd. Apandi Mohamad dengan majoriti 5,269 undi.

Mustapa mendapat 21,223 undi manakala Mohd. Apandi (15,954).

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .