Wednesday, April 18, 2018

Rumah Pelangi Kelantan Tarik Minat Orang Ramai

Musang Maya (Nur Shila)     2:13:00 PM    

KOTA BARU, 18 April — ‘Rumah Pelangi’ di sebuah perkampungan di Kelantan semakin menarik perhatian ramai sejak tular di media sosial baru-baru ini.
Terletak di Kampung Sungai Budor, 10 minit dari pusat bandar, rumah-rumah dicat pelbagai warna dapat dilihat dari jarak sejauh tujuh kilometer, lapor Utusan Online.
“Ada pelawat dari Pasir Pekan beritahu dia terkejut lihat rumah-rumah pelangi dari seberang sungai dan terus datang mencari kampung kami ini,” kata salah seorang pemilik rumah Rosfadishah Yusoff, 44.
Setakat ini enam rumah siap dicat, hasil projek inisiatif pertubuhan wanita prihatin Kelantan, Umno Pengkalan Chepa, Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebanyak 130 hingga 150 buah rumah terlibat dalam program ‘Kampung Pelangi’ di Kampung Sungai Budor dan Kampung Nik Nal, di tebing sungai Kelantan.
Popular sebagai lokasi memancing, proses mengecat dilakukan sejak Mac dan dijangka tiga buah rumah lagi siap dalam masa dua minggu.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .