Wednesday, April 18, 2018

Sesiapa sahaja boleh bertanding di Bagan Datuk

Musang Maya (Nur Shila)     4:56:00 PM    

BAGAN DATUK, 18 Apr: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu berkata, terserah kepada pengundi Bagan Datuk sendiri untuk menentukan parti atau individu yang akan memberikan kesinambungan serta perkhidmatan yang terbaik.

“Saya tentunya tidak dapat menolak parti atau individu yang berniat untuk bersama-sama memberi makna demokrasi di Bagan Datuk ini.

“Tentu sekali rakyat Bagan Datuk boleh menilai siapakah pemimpin bermusim yang datang setiap kali musim menuai tiba. Oleh kerana Bagan Datuk tiada musim buah, kita cuma ada kelapa dan kelapa sawit maka ‘musim buah’ tidak seharusnya tiba di Bagan Datuk,” katanya pada sidang media selepas makan tengah hari di Restoren Basha di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68, atau lebih dikenali sebagai ‘Raja Bomoh Malaysia’ semalam untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk sebagai calon bebas.

​​​​​​​Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid meminta agar anak muda yang berhijrah ke bandar supaya pulang mengundi pada 9 Mei ini.

“Yang duduk luar dari Bagan Datuk baliklah mengundi kerana hari berkenaan telah diumumkan sebagai cuti umum,” katanya.

Pada PRU13 Ahmad Zahid menang kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 2,108 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei manakala penamaan calon pada 28 April.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .