Tertuduh Ke Kawasan Kondominium Kevin Morais Sehari Sebelum Mangsa Hilang - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Wednesday, April 18, 2018

Tertuduh Ke Kawasan Kondominium Kevin Morais Sehari Sebelum Mangsa Hilang

KUALA LUMPUR, 18 Apr: Seorang tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia bersama-sama lima tertuduh lain pergi ke kawasan kondominium yang dihuni Kevin Morais pada 3 Sept 2015, sehari sebelum mangsa dilaporkan hilang.

S.Nimalan, 25, yang merupakan tertuduh keenam, berkata pada hari itu, dia memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang turut dinaiki tiga tertuduh lain iaitu R.Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar dan M.Vishwanath.

Dia berkata pada masa itu, mereka dalam perjalanan dari sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor ke sebuah hotel di Petaling Jaya.

Nimalan berkata dalam perjalanan itu, dia telah mengekori kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki tertuduh ketujuh yang juga bapa saudaranya, S.Ravi Chandaran, dan bekas tertuduh kedua yang telah bebas, G.Gunasekaran.

“Kami ekori kereta yang dipandu Jay (Gunasekaran) lebih kurang 10 hingga 15 minit (perjalanan), dan kami berhenti dekat satu kondominium,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam V. Rajehgopal pada prosiding membela diri yang masuk hari kelapan.

Saksi pembelaan kelima itu juga mengesahkan kondominium itu adalah kondominium sama yang ditinjau oleh pasukan pendakwaan dan pembelaan semalam iaitu Kondominium Menara Duta di Jalan Dutamas Raya, di sini yang dihuni oleh Kevin Morais.

Nimalan berkata dia memberhentikan kenderaannya di kondominium itu setelah Gunasekaran, yang memandu kereta di hadapannya, berhenti dan dia perlu mengekori Gunasekaran.

Tertuduh juga memberitahu mereka hanya berada berhampiran kondominium itu beberapa minit sahaja sebelum beredar serta tiada sesiapa yang keluar dari kedua-dua kenderaan itu.

Selepas itu, mereka berlima terus ke sebuah hotel di Sunway, Petaling Jaya dan menginap di hotel berkenaan, katanya.

Pada prosiding itu, Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan dan Ravi Chandaran, 47, diwakili peguam V.Rajehgopal manakala doktor tentera Kolonel Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan. Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath,Nimalan, Ravi Chandaran dan Dr Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.— Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: Tertuduh Ke Kawasan Kondominium Kevin Morais Sehari Sebelum Mangsa Hilang Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)